3R DAP Ir. Khairil Nizam Khirudin paranoia Rafizi peruntukan pembangkang
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu menolak DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ekoran sikap perkauman parti itu lebih-lebih lagi dalam isu-isu membabitkan Islam dan orang Melayu.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Perlembagaan DAP sendiri jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat-matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal.

“Hal ini sahaja membuka pekung dada DAP yang cukup anti kepada Islam dan Melayu”,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng semalam yang menuduh Pas mengamalkan pendekatan perkauman dan ekstremis terhadap orang bukan Islam yang dianggap sebagai musuhnya.

Khairil Nizam menambah, DAP tidak pernah menyembunyikan permusuhan mereka terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

Menurut beliau, sejarah membuktikan ketika berkuasa melalui Pakatan Harapan (PH) dahulu, DAP kuat menyokong supaya konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi, langkah yang jelas bakal mengganggu-gugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum.

“Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian.

“Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr. P. Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’,” jelasnya.

Khairil Nizam memberitahu, dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, DAP telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 mengenai keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam terutamanya pada waktu Subuh.

Beliau mendakwa, DAP juga pernah mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang.

“DAP sememangnya terkenal dengan rekod membentak dan ingkar kepada Raja-Raja Melayu.

“Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Kit Siang menyeru agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik ADUN Pas sebagai Menteri Besar pada 2008,” katanya.

Khairil Nizam berkata, DAP juga memiliki rekod melampau dalam isu aurat, apabila Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming telah menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin UMNO Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai “pemimpin Melayu otak cacat”.

“Dalam isu murtad, Datuk Ngeh Koo Ham telah mengeluarkan kenyataan sebanyak dua kali iaitu pada 7 Jun 2014 yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014 supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk murtad keluar dari Islam.

“Koo Ham melaungkan kononnya umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian,” jelasnya.

Menurut beliau, Deklarasi Setapak DAP terang lagi bersuluh menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’ ditentang”.

Khairil Nizam turut menyifatkan tuduhan Guan Eng terhadap Pas membuktikan betapa dangkalnya parti tersebut.

“Seluruh rakyat Malaysia mengetahui betapa patung Buddha antara yang terpanjang di Asia wujud baik terpelihara di bawah kerajaan Kelantan yang diterajui Pas.

“Malah sewaktu Pas mula menguasai Terengganu pada 1999, cukai gerbang kampung Cina turut dihapuskan Pas sekali gus mengukuhkan hubungan baik masyarakat Melayu dan Cina di Terengganu dan Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast