Gambar hiasan

PADA 15 September 2022 yang lalu, saya telah menulis dalam ruangan kolumnis (https://ikram.org.my/pekerja-berhenti-senyap-senyap-wajar-atau-tidak/ ) di Portal IKRAM mengenai kewajaran seseorang pekerja untuk “berhenti senyap-senyap” atau mengamalkan “quiet quitting” di tempat kerjanya.

Ringkasnya, amalan “berhenti senyap-senyap”  ini merupakan suatu trend golongan pekerja kelas pertengahan dan bawahan yang kian tular di Amerika Syarikat yang menerangkan amalan menolak daripada melakukan kerja berlebihan dan melampaui masa kerja yang ditetapkan. Amalan ini dengan kata lain sebenarnya merupakan suatu gerakan golongan pekerja di sana yang menolak eksploitasi majikan terhadap pekerja.

Di samping itu, gerakan ini juga menolak mentaliti bekerja terlampau keras (hustle culture mentality”) kerana akhirnya, sesuatu pekerjaan itu hanyalah merupakan kerja dan tidak semestinya bermakna lebih daripada itu. Buat masa ini, konsep “berhenti senyap-senyap” ini tidaklah banyak dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kalangan yang berbahasa Melayu. Berdasarkan carian melalui Google, selain artikel saya yang dinyatakan di atas, tidak ada lagi terdapat artikel pendapat lain yang ditulis yang membincangkan hal ini.

Adakah hal ini bermaksud konsep “berhenti senyap-senyap” ini tidak mempunyai kerelevanan dalam kalangan pekerja di negara kita? Mungkin kurangnya perbincangan mengenai gerakan ini menyebabkan ramai antara kita yang fikir gerakan ini tidak perlu ada kaitannya dengan pekerja-pekerja di Malaysia. Namun begitu, jika kita tidak fikirkan mengenai isu majikan yang tidak membayar pampasan secukupnya terhadap pekerja sekali pun, kita perlu fikir juga bahawa eksploitasi majikan terhadap pekerja yang juga berleluasa di negara kita ini perlu juga dibincangkan daripada sudut kesihatan mental dan fizikal pekerja.

Menurut satu kajian daripada badan pengkaji sumber manusia, Employment Hero pada tahun 2022 mendapati bahawa terdapat 58 peratus pekerja melaporkan bahawa mereka telah menghadapi kelesuan upaya (burnout) akibat daripada kerja mereka. Isu lesu upaya yang makin berleluasa dalam golongan buruh dan pekerja di Malaysia ini perlu dibincangkan dan diambil serius oleh semua pihak kerana merekalah tulang belakang penggerak ekonomi di negara kita. Walaupun lesu upaya bukanlah merupakan suatu penyakit atau sifat kecelaruan yang boleh disifatkan sebagai suatu diagnosis penyakit mental, namun masalah ini boleh mendorong kepada wujudnya masalah kesihatan mental dan fizikal yang lebih serius. Antara masalah kesihatan mental yang boleh timbul akibat lesu upaya yang berpanjangan ialah masalah kegelisahan (anxiety) dan kemurungan.

Selain itu, lesu upaya itu sendiri dan tekanan di tempat kerja juga boleh menjadi faktor risiko kepada penyakit fizikal yang lain seperti masalah tekanan darah tinggi dan penyakit yang lebih serius seperti penyakit jantung. Oleh itu, sebagai pekerja, apa yang anda boleh lakukan jika anda sudah lesu upaya atau berada di ambang kelesuan upaya? Sebagai pekerja, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk “berhenti senyap-senyap”, seperti mana yang dinyatakan di atas. Anda tidak perlu berhenti terus daripada kerja anda. Sesuatu yang anda boleh lakukan ialah, anda boleh memilih untuk tidak lagi secara sukarela melakukan kerja berlebihan atau meluangkan masa berlebihan di tempat kerja jika anda tidak diberi pampasan sewajarnya.

Sesuatu yang positif tentang gerakan “berhenti senyap-senyap” ini ialah bukan sahaja gerakan ini memberi lebih kuasa rundingan untuk pampasan kewangan yang lebih baik kepada pekerja, malah gerakan ini juga memberi peluang kepada pekerja untuk menaik taraf status kesihatan mental dan fizikal pekerja itu sendiri. Mungkin agak sukar untuk anda katakan tidak jika diminta melakukan kerja berlebihan atau jika diminta meluangkan lebih masa di tempat kerja. Tetapi, anda boleh lakukan yang minimum sahaja, iaitu, jika tidak disuruh buat lebih, tidak perlu sukarela untuk buat lebih. Jika tidak disuruh kerja lebih masa, tidak perlu sukarela buat kerja lebih masa.

Masa dan tenaga yang lebih itu anda boleh lagi luangkan untuk berehat dan untuk digunakan bersama orang tersayang secara lebih berkualiti, demi kesihatan fizikal, mental, dan sosial anda. Maka nasihatnya di sini ialah, jika anda tidak mampu berkata tidak secara aktif, anda masih boleh berkata tidak secara pasif. Tidak lagi perlu sukarela untuk bekerja berlebihan, lebih-lebih lagi jika tidak diminta, demi kesihatan anda. Pertimbangkanlah untuk “berhenti senyap-senyap” sewajarnya tanpa merisikokan anda hilang pekerjaan jika itu lebih baik demi kesihatan mental dan fizikal anda. Jika bukan anda yang mahu jaga diri anda, siapa lagi, bukan?

Wan Salman Wan Sallam, aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast