Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu selepas Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, tulisan Tommy membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

Artikel berkaitan: Siasat AGC jika ada salah laku Tommy – Pasukan Petugas Khas

Zahid bimbang ada anggota Kabinet tutup hasil siasatan buku Tommy Thomas

Karut jika hasil siasatan terhadap buku Tommy tidak didedahkan – Shahrir

Buku Tommy Thomas: Tiada ada apa hendak disembunyikan – Puad

Dedah 19 perkara penting dalam buku Tommy kepada rakyat – Ahmad

Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.

Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

Ismail Sabri berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette