Tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam insiden menculik ahli perniagaan dalam vellfire putih di ampang 29 September lalu berjaya diberkas semalam dan direman polis pagi tadi di Ampang.

KUALA LUMPUR – Dua suspek lelaki yang yang diburu kerana disyaki menculik seorang ahli perniagaan berjaya dijejaki dan dicekup polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang bekerja sebagai penjual sayur dan pekerja kilang itu ditangkap pada Ahad lalu.

Katanya, mereka telah dikehendaki oleh polis sejak 29 September lalu sejurus selepas insiden melarikan ahli perniagaan itu berlaku di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah, Ampang.

“Pada 2 Oktober lalu jam lebih kurang pukul 3 petang, sepasukan anggota polis  telah berjaya menangkap dua lelaki tempatan berumur 37 dan 40 tahun kerja kilang dan penjual sayur di sekitar Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang di Ampang.

“Siasatan lanjut mendapati tangkapan yang berumur 40 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau dalam kesalahan dadah manakala tangkapan kedua yang berumur 37 tahun pula mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan dadah.

“Malah ujian air kencing ke atas tangkapan pertama dan kedua didapati negatif sebarang dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek polis merampas beberapa pakaian, telefon bimbit kedua dan sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah culik semasa kejadian.

Kedua-dua suspek itu kini telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 6 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Ujar Mohamad Farouk, kes berkenaan sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun keseksaan iaitu kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda,’ ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli perniagaan diculik dalam Vellfire putih kerana hutang

Katanya, tangkapan berkenaan menyusul selepas pada Khamis lalu jam lebih kurang 5.03 petang bilik kawalan Ampang Jaya telah menerima panggilan MERS999 bagi satu kejadian melarikan orang dan dibawa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Vellfire.

Beberapa penunggang motosikal yang telah menyaksikan insiden tersebut bertindak mengejar kenderaan itu yang dinaiki suspek bersama mangsa.

Namun pada, Jumaat lalu, mangsa telah dilepaskan oleh suspek di kawasan Klang.

Mangsa kemudian tampil ke Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam untuk membuat laporan mengenai kejadian yang menimpa dirinya itu.

“Ahli perniagaan berusia 38 tahun itu mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu dipercayai berpunca akibat masalah hutang dan polis kini memburu kumpulan lelaki terbabit.- MalaysiaGazette