Graduan Kolej Komuniti Negeri Selangor 2022

NILAI – Seramai 1,429 graduan Diploma dan Sijil dari 10 buah Kolej Komuniti Selangor telah meraikan hari yang istimewa ini dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2022 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti 2022 bagi Negeri Selangor ini telah disempurnakan oleh Ts. Zainab binti Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Kejayaan para graduan Kolej Komuniti hari ini membuktikan aliran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat melahirkan graduan yang kompeten, bernilai dan berkemahiran tinggi serta sentiasa relevan dengan perkembangan industri terutamanya dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang akan membawa perubahan ketara dalam bidang teknologi, norma kerja dan kehidupan semua.

Zainab  dalam ucapannya berkata, kadar kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti Malaysia bagi tahun sebelum adalah 94.8 peratus dan kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti itu adalah satu indikator bahawa graduan kolej komuniti sentiasa menjadi pilihan majikan.

“Persepsi bahawa TVET ini sebagai pilihan kedua, boleh diumpamakan satu pandangan lapuk. Sebaiknya kita perlu membuka minda dan melihatnya sebagai antara laluan utama kerjaya masa kini seiring permintaan negara dan dunia semasa,” katanya lagi.

Graduan Program Kulinari, Muhammad Naim Ahmad Sofri, Program Kulinari Kolej Komuniti Selayang kini merupakan Commis Chef di hotel terkemuka di Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai The Most Outstanding Apprentice bawah 23 tahun bagi pertandingan Culinaire Malaysia 2022 yang menewaskan beberapa pesaing lain dari pelbagai kolej,universiti dan juga hotel di Malaysia.

Demi mengejar cita-cita yang diimpikan, beliau sanggup mengambil peperiksaan ulangan dan mendapat keputusan lulus peperiksaan SPM sebagai tiket ke Kolej Komuniti.

Semangat tidak berputus asa beliau ketika menemui kegagalan telah membuktikan gagal sekali bukan bererti gagal selamanya dan minat dapat mengubah kehidupan.

Penerima Anugerah Ketua Pengarah bagi Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor Tahun 2022, Mohd Zhafri  Zakaria, 35, Program Pengembaraan Pelancongan Kolej Komuniti Kuala Langat merupakan contoh terbaik keseimbangan akademik dan kurikulum di mana TVET bukan sahaja melahirkan graduan berdaya saing dan kebolehpasaran, tetapi ia juga melahirkan graduan yang aktif dalam kurikulum.

Dia memperolehi HPNM yang cemerlang iaitu 3.98 dan pernah meraih johan dalam Petanque Piala Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat serta penglibatan dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan seperti sukarelawan Program Vaksin Covid-19 Kebangsaan, sukarelawan misi banjir bersama NGO dan sebagainya.

Najwa Mahmud, seorang graduan ketidakupayaan Intelektual dari Program Kulinari Khas, Kolej Komuniti Selayang kini masih menjalankan latihan di CIAST (Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan) dan bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa Ke-10 pada tahun 2023 dalam bidang Pemprosesan Data.

Beliau juga penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Pendidikan Khas, Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor Tahun 2022.

Meskipun beliau seorang graduan program Kulinari, namun bakat beliau yang lain tetap digilap dengan bantuan dan bimbingan daripada pensyarah-pensyarah.

Biarpun kurang upaya tetapi dengan semangat dan iltizam yang tinggi, Najwa telah mengatasi rintangan ini dan beliau percaya sebenarnya ia adalah satu kelebihan dan batu loncatan dalam membina kerjaya serta mengasah bakat kemahiran yang ada dalam dirinya.

Muhammad Asyhar Rosman graduan Program Pengoperasian Perniagaan dari Kolej Komuniti Kuala Langat yang berminat menceburi bidang keusahawanan telah menerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti kerana kegigihan dan kejayaan beliau dalam bidang keusahawanan dan kini beliau memiliki sebuah syarikat bernama Asyhar Global.

Pemilik syarikat, 3D Modeler, Commis Chef, BIM Modeller, Pengurus Cawangan Syarikat Logistik, antara pelajar graduan TVET Kolej Komuniti Negeri Selangor Tahun 2022.

Dari gagal SPM, kekurangan upaya akhirnya graduan Kolej Komuniti berjaya menamatkan pengajian dan menjadikan minat kepada kemahiran sebagai kerjaya melalui program sijil TVET.

Ia bersesuaian dengan kata keramat kolej komuniti; tidak penting dimana anda bermula, yang penting dimana anda berakhir. – MalaysiaGazette