KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah merintis jalinan kerjasama dengan 35 pengusaha bagi menyebar info kewajipan zakat emas kepada pelanggan masing-masing.
Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Datuk Halidan Md Daud, berkata, para pengusaha kedai emas akan membantu pihaknya untuk mengedarkan risalah dan panduan pengiraan zakat emas di premis masing-masing.
“PKZ Pahang juga akan mempromosi pengusaha al-Rahnu sebagai jalan keluar daripada urusniaga pajakan emas yang berlandaskan riba.
“Semoga dengan wujudnya kolaborasi kempen zakat dengan pelbagai pihak ini akan dapat mempertingkatkan lagi kefahaman berkenaan kewajipan berzakat kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Halidan berkata, PKZ Pahang telah melakukan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab pembayar zakat di negeri ini.
PKZ Pahang optimis untuk mencapai sasaran kutipan bagi tahun 2022 iaitu sebanyak RM193 juta dan pembayar melibatkan seramai 100,000 orang. – MalaysiaGazette