Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) serta Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) hadir pada Perjumpaan Khas Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Tiga Sayap UMNO bersama Presiden UMNO serta Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO yakin Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan memperkenankan pembubaran Parlimen apabila dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti pimpinannya yakin Al-Sultan Abdullah akan bertindak mengikut Perlembagaan negara.

Beliau yakin Yang di-Pertuan Agong juga akan mengambil tindakan berdasarkan kepentingan negara.

“Kuasa tertakluk kepada perlembagaan persekutuan, yakin Agong beri perkenan ikut perkiraan terbaik. Kuasa itu tertakluk kepada perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerana Tuanku Agong pastinya bertindak mengikut Perlembagaan Malaysia.

“Dan kita yakin Agong akan melakukan perkenan mengikut perkiraan-perkiraan terbaik demi kepentingan negara Malaysia,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat pada majlis Perjumpaan Khas Presiden UMNO dan Perdana Menteri bersama Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri serta Pengerusi Perhubungan Negeri dan exco sayap-sayap parti dari 191 bahagian di sini hari ini.

Ahmad Zahid ditanya sama ada Yang di-Pertuan Agong akan memperkenan pembubaran Parlimen berikutan bantahan daripada pelbagai parti politik dengan alasan banjir akan berlaku.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah meneliti laporan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan PRU boleh dilaksanakan sebelum bencana banjir berlaku.

“Pada 30 September apabila Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah membuat keputusan, maka keputusan itu adalah rasmi daripada UMNO iaitu pilihan raya wajib diadakan pada tahun ini.

“Kami telah meneliti laporan daripada Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati insya-Allah pilihan raya akan dibuat sebelum banjir,” tegasnya.

MET Malaysia sebelum ini meramalkan musim tengkujuh dengan bencana banjir akan berlaku bermula pertengahan bulan November.

Ahmad Zahid berkata, UMNO menghormati bantahan yang dibuat oleh parti lawan untuk tidak mengadakan PRU dalam masa terdekat.

Namun menurut Ahmad Zahid, Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak setelah mendapat mandat daripada Jemaah Menteri untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihatkan mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Justeru beliau meminta parti-parti terbabit untuk menghormati pendirian yang ada pada UMNO. – MalaysiaGazette