KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) gembira dengan perkembangan terkini mengenai mesyuarat yang diadakan oleh Jawatankuasa Rundingan Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tiada masalah parti baharu itu menyertai PH.
“Ada beberapa siri perbincangan mengenai permohonan Muda untuk sertai PH dan laporan kearah itu telah diserahkan kepada Majlis Presiden. Kita gembira dengan perkembangan perbincangan mengenai itu, dan masih berjalan.
“Tidak ada kata putus? Tidak sebab ia adalah perbincangan berterusan dan bukannya buat satu perbincangan sahaja. Kita ada mesyuarat dan perlu diikuti dengan keputusan sebelum ia diputuskan. Saya tidak nampak ada masalah,” katanya dalam sidang media mengenai pembentangan bajet bayangan 2023 di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Jawatankuasa Rundingan PH-Muda juga telah diarahkan untuk mempercepatkan proses kemasukan parti itu.
“Kita telah arahkan pasukan untuk percepatkan proses itu,” kata Anwar lagi menjawab pertanyaan media samada PH memberi garis masa kepada jawatankuasa itu untuk mempertimbangkan permohonan Muda.
Pada 6 September, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa partinya, yang dikatakan mewakili suara golongan muda memohon untuk menjadi sebahagian dari PH. – MalaysiaGazette