MELAKA – “Kelahiran anak kedua yang jatuh pada hari jadi Rasullullah SAW selepas Maghrib malam tadi membawa rahmat kepada saya.”
Itu kata seorang suri rumah, Nurul Syaza Shahirah A Samsuddin, 26, – salah seorang antara 19 ibu yang diraikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Majlis Penyerahan Cenderahati Bayi Qurratu A’yun Sempena Sambutan Maulidur Rasul 144H/2022M di Hospital Melaka hari ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka, anak kedua seberat 2.35 kilogram yang dilahirkan melalui pembedahan pukul 7.20 malam tadi hanya selang beberapa minit memasuki tarikh 12 Rabiul Awwal 1444H.
“Rasa bersyukur sebab anak berkongsi tarikh lahir dengan baginda Nabi Muhammad SAW dan semoga menjadi anak yang soleh mencontohi keperibadian Rasulullah,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.
Sementara itu, Sulaiman berkata, seramai 19 bayi dilahirkan di Hospital Melaka iaitu lapan lelaki dan 11 perempuan.
“Bayi pertama dilahirkan adalah lelaki pada pukul 7.05 petang semalam dan setakat 9.30 pagi ini sahaja, seramai 19 bayi selamat dilahirkan iaitu 13 secara normal dan enam melalui pembedahan.
“Semua bayi ini diraikan pada Program Qurratu A’yun yang bermaksud anak penyejuk mata, sentiasa menggembirakan hati ayah bonda, peribadi mulia dan sentiasa menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai contoh teladan terbaik dalam menjalni kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette