KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan dua pertiga banduan yang layak menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang tahun 2030 ekoran beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
Selain PKW, inisiatif lain yang dilaksanakan sejak 2008 seperti Sistem Parol, Program Reintegrasi Penghuni (PRP), Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan beberapa program lain dapat mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Nordin Muhamad berkata, berdasarkan statistik, seramai 82,539 penghuni penjara dan daripada jumlah itu, 76,336 adalah banduan di penjara manakala 6,203 ditempatkan dalam program Pemulihan Dalam Komuniti.
“Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan kadar kesesakan dan kita menganggarkan lebih ramai pesalah akan dipertimbangkan oleh mahkamah untuk menjalankan program pemulihan dalam komuniti,” katanya kepada media dalam majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Nordin memberitahu, pelaksanaan pindaan rang undang-undang baharu itu juga dapat memberi peluang kepada pesalah hukuman ringan untuk menjalani hukuman di luar fasiliti penjara.
Tambahnya program Pemulihan Dalam Komuniti terbukti berkesan kerana berjaya mengurangkan kadar penjenayah berulang dengan anggaran seorang sahaja daripada 400 penghuni dibebaskan akan kembali ke penjara.
“Kita menyasarkan untuk mencapai 10,000 pesalah pada tahun ini dan kita sudah mencapai 79.5 peratus dan yakin jumlah itu dapat dicapai sebelum November tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau setakat ini terdapat 52 pusat PKW dan berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menambah 20 lagi pusat di seluruh negara.
Wan Ahmad Dahlan berkata, Jabatan Penjara Malaysia dapat menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan.- MalaysiaGazette