KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO telah menghantar senarai nama calon termasuk ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada pucuk pimpinan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Asyraf Wajdi berkata, beliau yakin dan optimis lebih ramai wajah baharu ditampilkan dalam pilihan raya umum kali ini.
Menurutnya, senarai calon yang dihantar adalah untuk pertandingan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri.
“Saya tak ingat senarai calon sebab kita pergi kepada Parlimen dan DUN di setiap negeri, akhirnya berapa banyak negeri yang akan membubarkan DUN masing-masing.
“Dengar cerita ada negeri yang sudah bertukar nak bubar, ada yang tidak mahu bubar. Jadi kita tunggu akhir.
“Di peringkat Pemuda kita hantar senarai calon untuk semua Parlimen dan DUN yang jadi tumpuan calon-calon kita di semua negeri,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Asyraf Wajdi bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah calon yang dihantar kepada pucuk pimpinan.
Beliau yang tewas ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pasir Puteh pada PRU-14 turut merahsiakan kawasan yang bakal ditandingi nanti.
“Calon yang dihantar termasuk sayalah. (Bertanding di mana?) Itu soalan cepu emas. Kalau saya sebut di sini, biarlah dahulu, kemudian,” katanya sambil tersenyum.
Asyraf Wajdi yakin Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menunaikan janji menampilkan 70 peratus muka baharu bagi Pergerakan Pemuda UMNO.
“Kita tak pernah desak kepimpinan untuk dapatkan 20, 30, 40 peratus (kerusi) tetapi pendirian Pemuda sejak daripada awal lagi kita mahu BN menampilkan lebih ramai calon baru dan muda yang boleh memberikan satu isyarat BN komited kepada mewajahkan parti mempunyai pembaharuan yang tinggi.
“Komitmen yang diberikan oleh kepimpinan di Melaka 84 peratus muka baharu yang ditampilkan di PRN Johor 79 peratus.
“Buat pertama kali di peringkat BN kita ada 13 wakil rakyat, lapan sudah dilantik exco kerajaan negeri. Ini membuktian sudah ada pembaharuan seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi BN dan mewajahkan BN dan UMNO dengan wajah baharu,” jelasnya.-MalaysiaGazette