Dr Apli Yusoff, Pengerusi PTPTN diiringi Puan Azizah Nasik@Abd Rashid, Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terengganu menyampaikan Surat Tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited membantu para pelajar yang akan memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut PTPTN, perbadanan tersebut telah memperuntukan RM42.2 juta bagi membantu 28,278 pelajar yang akan memasuki IPTA bagi kemasukan sesi Oktober 2022 menerusi kemudahan  Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

Katanya, setiap pelajar warga Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP melalui saluran yang ditetapkan perbadanan itu dan ibu bapa atau penjaga mereka merupakan penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan akan menerima WPP sebanyak RM1,500.

“Semenjak WPP ini diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2022, seramai 954,465 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.41 bilion,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tempoh sah laku WPP ini adalah selama dua bulan bermula 5 Oktober hingga 5 Disember 2022.

Katanya, pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP ini di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mulai 5 Oktober 2022 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Tambahnya, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 5 Oktober lalu melalui portal rasmi PTPTN.

Dr Apli Yusoff (kiri) diiringi Pengurus
Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid, menyampaikan Surat Tawaran Wang
Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah di Kuala Nerus, Terengganu pada 2 Oktober lalu.

Semasa sesi ziarah, beliau telah menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak.

Dr. Apli berkata berkata, inisiatif pemberian WPP itu adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki IPTA.

Menurut beliau, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke menara gading. WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin.

“Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar
bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” ujarnya.

Di Terengganu seramai 1,825 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.7 juta manakala bagi kawasan Kuala Nerus seramai 239 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM358,500.

Para pelajar yang telah membuat permohonan pinjaman
PTPTN bagi tempoh 1 September hingga 30 September lalu boleh membuat semakan kelulusan pinjaman mulai 11 Oktober 2022.

Manakala, pelajar yang belum mengemukakan permohonan, boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober 2022 bagi kelompok kedua.

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat pinjaman dengan cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi mudah alih
myPTPTN. – MalaysiaGazette