Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memakaikan pin PKR kepada ahli baru Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff selepas sidang media mengenai aplikasi ADIL dan pengumuman kemasukan anggota baharu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang mengumumkan keluar parti itu enam hari lalu hari ini menyertai PKR.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Turut menyertai PKR adalah bekas calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mohd. Jidi Yaakob.

Anwar berkata, Rais Hussin tidak ditawarkan sebarang jawatan atau menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Baiknya, beliau (Rais Hussin) langsung tidak menyentuh soal (jadi calon) itu. Setengah orang fikir bila masuk itu kerana pilihan raya. Dia tidak.

“Dia berkata, dia sudah lama hendak menyertai PKR. Saya tidak apa asalkan kita tahu dia menyertai. Tapi tidak ada perbincangan mengenai kerusi. Sebab saya pun belum tentu kerusi mana,” seloroh Anwar.

Beliau percaya daya intelektual Rais Hussin akan membantu PKR menyusun startegi parti.

Pada 7 Oktober lalu, Rais Hussin telah mengumumkan keluar daripada Bersatu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu menghantar surat rasmi pengundurannya kepada Bersatu sehari sebelumnya.

Dalam kenyataan, beliau tidak lagi aktif di dalam Bersatu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

Sementara itu Rais Hussin menyertai parti PKR berdasarkan lima prinsip utama.

“Pertamanya reformasi, keduanya keadilan, ketiganya keterangkuman, keempatnya progresif dan kelimanya wasatiyyah.

“Lima prinsip utama ini adalah sebab saya guna dan saya percaya ketika menubuhkan parti sebelum ini (Bersatu) tahun 2015 saya sudah guna,” kata beliau.

Rais Hussin berkata, beliau akan membantu PKR dalam bentuk penyelesaian terhadap usaha menyelamatkan Malaysia.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama ahli baru Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Jidi Yaakob yang merupakan bekas Naib Ketua Bahagian Bera selepas sidang media mengenai aplikasi ADIL dan pengumuman kemasukan anggota baharu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

Sementara itu Mohd. Jidi berkata, beliau pernah bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi pemimpin UMNO di Bera, Pahang.

“Pengalaman dalam politik sudah 40 tahun lebih dalam UMNO. Saya jadi ahli UMNO dari 1981 terus bertanding jawatankuasa pemuda bersama Ismail Sabri,” katanya.

Beliau keluar UMNO dan menyertai Bersatu selepas berselisih faham dengan Ismail Sabri.

Dalam sidang media tersebut, PKR turut melancarkan aplikasi Adil 2.0 yang sebelum ini digunakan untuk pemilihan PKR.

Aplikasi itu kini dibuka kepada orang awam bagi mendapatkan perkembangan terkini PKR serta boleh digunakan untuk melontarkan komen dan aduan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rais Hussin umum keluar Bersatu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast