KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP didakwa sudah tidak ada modal kerana terus menghasut masyarakat India kononnya hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti jatuh pada hari Deepavali.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Sivarraajh yang membidas kenyataan Ahli Parlimen Batu Gajah (DAP), V Sivakumar yang mendakwa hari mengundi akan dibuat pada sambutan Deepavali berkata, tindakan DAP itu menunjukkan parti tersebut tidak habis-habis sebar fitnah supaya masyarakat India membenci Barisan Nasional (BN).
“Cerita apa ini? Mana YB Sivakumar ini dapat maklumat bahawa Deepavali adalah pada hari mengundi? Tolong bagi pencerahan mana anda dapat tarikh ini? Jika betul dakwaan kamu ini, bukan sahaja masyarakat India akan protes, bahkan MIC juga.
“Apa yang diperkatakan olehnya sangatlah tidak benar. Beliau dan barisan pembangkang sudah tiada modal untuk menyebarkan fitnah terhadap BN, jadi terpaksalah berhempas pulas buat dakyah seperti ini,” katanya yang juga Penyelaras Parlimen Padang Serai.
Sebaliknya, Sivarrajh meramalkan pengundian akan diadakan sekitar bulan November, sekurang-kurungnya selepas dua minggu masyarakat India menyambut Deepavali.
Oleh itu, beliau meminta pemimpin DAP berhenti berbohong dan memperbodohkan masyarakat India dengan cerita karut.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan meminta masyarakat India supaya tidak termakan dengan pembohongan pembangkang kononnya PRU akan diadakan ketika Deepavali.
Kata Sivarraajh lagi, pembangkang semakin terdesak dan terpaksa agresif melakukan hasutan serta menyebar fitnah kerana bimbang parti mereka bukan pilihan pengundi lagi.
“Banjir, hujan, sambutan perayaan, semua ini adalah naratif dan alasan pembangkang untuk terus mengelirukan umum. Pembangkang agresif membohongi rakyat kerana mereka juga sudah tahu kesudahan mereka.
“Mana tidaknnya, apa jadi pada PRU lepas? Manifesto yang bukan janji sedangkan sebelum menang, semua di janjikan bulan bintang dalam tempoh 100 hari sahaja.
“Menang hari ini, esok harga minyak turun. PTPTN tidak perlu bayar, segala kemudahan dan keperluan akan ada di depan rumah pengundi, kalau hendak senarai cukup banyak sekali sebenarnya. Tapi anda semua tahu, satu apapun tidak boleh buat.
“Jadi kesudahannya? Buatlah pengundi benci BN, baru boleh PH kekal kuasa. Masyarakat sudah celik jika tidak mana mungkin PRN-PRN negeri semuanya BN yang menang berbanding sebelum itu. MIC juga mendapat undi daripada masyarakat India. Semua itu yang mereka tidak.
“Cukuplah, realiti kini sudah berubah. Pengundi kita tahu, yang mana kaca, mana batu. Hentikan perbuatan sia-sia tabur janji, cerita fitnah kerana akhirnya rakyat sendiri pecah tembelang kamu,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Pembangkang tidak habis-habis hasut, mana ada PRU masa Deepavali? – Saravanan