Elak makan di tempat kotor.

NEGARA baru-baru ini digemparkan dengan insiden sekumpulan pelancong yang jatuh sakit sejurus pulang bercuti dari pulau peranginan terkenal di Terengganu.

Siasatan mengesyaki pengunjung-pengunjung tersebut dijangkiti tifoid. Tifoid merupakan penyakit berjangkit bawaan bakteria Salmonella typhi.

Jangkitan adalah disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan bakteria tersebut.

Tifoid paling kerap dihidapi oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berusia. Individu yang dijangkit mampu menjadi ‘pembawa’. Walaupun dijangkit, ‘pembawa’ tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

Sebilangan kecil individu yang dijangkiti mampu menjadi ‘pembawa’. Bakteria yang berada di dalam saluran penghadaman ‘pembawa’ mampu mencemari najis dalam jangkamasa waktu yang panjang dan berisiko menjangkiti individu lain, lebih-lebih lagi jika ‘pembawa’ tersebut terlibat dalam proses penyediaan makanan.

Anda berisiko untuk dijangkiti jika pernah melawat ke kawasan endemik, kawasan kotor atau menjadi kontak kepada ‘pembawa’ atau pesakit. Pesakit kebiasaannya mengadu sakit perut dan demam yang tinggi dalam tempoh 5 ke 21 hari selepas terdedah dengan makanan yang tercemar.

Gejala-gejala lain termasuk sembelit, lesu, sakit-sakit badan, kurang selera makan, cirit-birit dan ruam pada badan. Tifoid yang serius boleh menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri atau meracau.

Pesakit berisiko untuk mengalami pendarahan saluran penghadaman dan boleh menyebabkan usus bocor. Kelewatan dalam mendapatkan rawatan mampu menyebabkan kematian.

Tifoid boleh dicegah dengan penjagaan kebersihan yang rapi. Gunakan bekalan air yang bersih yang terawat untuk minum dan untuk menyediakan makanan.

Jangan lupa basuh tangan menggunakan air dan sabun selepas keluar dari tandas dan sebelum menyediakan makanan. Jangan sesekali membiarkan makanan dihinggapi lalat.

Bersihkan kawasan sekeliling kediaman dan lupuskan sampah dengan sempurna. Sekiranya berkunjung ke kedai makan, pilihlah gerai dan pengendali makanan yang bersih. Elakkan dari menggunakan tandas yang kotor.

Bagi pengendali makanan, anda boleh mengambil vaksin bagi mencegah tifoid. Vaksin mampu menghasilkan perlindungan seawal tujuh hari selepas pengambilan.

Oleh: Penolong Prof. Norhidayah Kamarudin M.B.B.S (IIUM); DrPath (Med. Microbe) UKM
Pakar Mikrobiologi Klinikal, Jabatan Patologi & Perubatan Makmal &
Penyelaras Unit Pencegahan Jangkitan & Kawalan Antibiotik,
Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @ UIAM,
Bandar Indera Mahkota, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah,
25200 Kuantan, Pahang.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast