Ismail sabri bahagian
Ismail Sabri Yaakob

KOTA BHARU – UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara menyokong keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menamakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail  Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sokongan berkenaan merupakan salah satu daripada lima usul yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat UMNO Bahagian Ketereh semalam.

Bahagian berkenaan juga menyokong segala usaha kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang memberikan keutamaan kepada usaha transformasi kerajaan khususnya transformasi Parlimen, peralihan ke fasa endemik, pemulihan ekonomi negara, menangani inflasi dan kos sara hidup rakyat, membela nasib rakyat serta mengekalkan keamanan dan perpaduan Keluarga Malaysia berteraskan prinsip Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.

Bahagian berkenaan juga merakamkan kesyukuran dan setinggi-tinggi tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri yang telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan prestasi cemerlang.

Selain itu UMNO Ketereh juga  menyokong supaya perundingan penyatuan ummah diteruskan dengan UMNO kekal mengambil sikap terbuka untuk merealisasikan penyatuan bangsa Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum kali ini.

UMNO bahagian itu juga menyatakan kesediaan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi PRU15 dengan semangat juang tinggi, setia kepada parti dan berkhidmat bersama komponen dan Sahabat Barisan Nasional untuk memenangkan parti dalam PRU kali ini. – BERNAMA