MELAKA – “Syukur. Alhamdulillah dengan adanya sijil warganegara ini, ‘anak’ tidak perlu lagi beli buku teks di sekolah dan dapat belajar dengan sempurna.”
Itu kata Khadijah Padzli, 63, seorang warga emas yang menjadi penjaga kepada Muhammad Shafiq Izuddin Aziz Abdul Rahim, 10, yang dijaga sejak kecil tanpa sebarang dokumen perjalanan sah setelah gagal menghubungi ibu kandung kanak-kanak malang berkenaan.
Menurutnya, dia kini gembira apabila tidak perlu lagi bimbang akan masa depan anak angkatnya itu apabila mendapat dokumen sijil warganegara oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.
“Allah telah mendengar doa saya selama ini yang sentiasa mengharapkan Shafiq mendapat status warganegara demi menjamin pendidikan dan masa depannya.
“Terima kasih kepada pegawai JPN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang banyak membantu selama ini setelah pelbagai usaha dilakukan namun gagal menemui ibu kandung anak bertuah ini,” katanya.
Khadijah berkata demikian pada majlis Program Temu Seru JPN Melaka sempena Hari Pendaftaran Negara di JPN Melaka di sini hari ini yang menyaksikan pemberian sijil warganegara itu disampaikan Ban Hong.
Hadir sama Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman.
Mengulas lanjut, ibu tunggal itu berkata, dengan adanya sijil warganegara, dia tidak perlu lagi menjawab soalan yang sering ditanyakan Shafiq setiap kali mendaftar di sekolah.
“Sayu hari saya bila setiap kali pendaftaran sekolah, dia akan tanya kenapa rakan-rakannya yang lain dapat pinjaman buku teks sekolah tetapi dia perlu membelinya,” katanya sebak.
Sementara itu, Shafiq bersyukur dengan berita gembira itu dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh mencapai cita-cita menjadi pramugara bagi membalas jasa keluarga angkatnya itu. – MalaysiaGazette