MELAKA – Sekumpulan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan produk inovasi dikenali sebagai Motorcycle Object Detection bagi mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.
Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Dr Suhaila Mohd Najib berkata, produk ini dibangunkan untuk mengesan kehadiran objek dari arah bertentangan yang memasuki ‘Region of Interest’ penunggang motosikal untuk memberi amaran.
Katanya, ia sekaligus dapat mengurangkan kemalangan jalan raya disebabkan faktor pelanggaran dengan objek statik diatas jalan raya.
Kumpulan pelajar terdiri daripada empat orang ahli yang diketuai oleh Ahmad Irfan Harman, 22, pelajar tahun empat Program Ijazah Sarjan Muda Teknologi Kejuruteraan Komputer (Sistem Komputer) dengan kepujian.
Tiga orang ahli lagi adalah Muhammad Qarl Farisz Mohd Rahimi,23, Nurnajihah Hazirah Azhari, 21, dan Muhammad Daniel Rahim, 23, yang merupakan pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri & Robotik) dengan Kepujian.
Jelas Ahmad Irfan, produk ini dibina dengan mengaplikasikan teknologi pembelajaran mendalam untuk mengesan beberapa objek statik yang dikenalpasti menyumbang kepada peningkatan faktor kemalangan penunggang motosikal.
“Pengesanan objek yang dilakukan oleh sistem kawalan utama akan mengaktifkan sistem amaran bunyi melalui fon telinga yang terdapat di dalam topi keledar dan juga lampu amaran yang dipasang pada hendal motorsikal.
“Selain itu, aplikasi Android yang dikenali sebagai “Hermes” juga dibangunkan bagi memudahkan penunggang motosikal mengawal kekuatan amaran bunyi dan kecerahan lampu amaran,” ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran pembangunan inovasi ini, Ahmad Irfan berkata, agak mencabar melatih sistem supaya dapat mengesan objek yang dikenal pasti menyumbang kepada faktor kemalangan jalan raya oleh penunggang motosikal secara tepat dan jitu.
Tambah Irfan, getaran yang terhasil daripada gerakan motosikal menyebabkan gambar yang diambil kabur juga merupakan salah satu cabaran bagi meningkatkan pengesanan objek secara tepat.
Menyentuh tentang harapan kumpulan, mereka berharap agar produk yang dihasilkan ini mampu untuk dijadikan sebagai produk yang mampu mendapat tempat dalam mana-mana pertandingan inovasi dan diaplikasi dalam dunia sebenar. -MalaysiaGazette