KUALA LUMPUR – Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara telah mengembangkan operasinya ke Sarawak dengan melancarkan empat buah pusat pemeriksaan kenderaan yang baharu.
Dengan pelancaran ini, Carsome memperkenalkan standard baharu dalam penjualan kereta untuk pengguna di Sarawak dengan memberikan mereka pilihan yang telus dan boleh dipercayai.
Pusat pemeriksaan ini bertujuan untuk menawarkan pelanggan pengalaman menjual kereta yang berbeza dan tidak rumit, dengan proses pembayaran dan transaksi yang pantas.
Berpandukan prosedur pemeriksaan yang ketat, setiap pusat pemeriksaan Carsome dilengkapi dengan pemeriksa bertauliah yang mahir untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas kereta bagi memastikan kualiti kereta diambil kira untuk menawarkan harga terbaik dalam pasaran.
Pengasas Bersama Carsome dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Carsome, Teoh Jiun Ee berkata, pengembangan syarikat ke Sarawak adalah sebahagian daripada misi berterusan untuk menyelesaikan kesulitan pelanggan, sekali gus memberikan ketenangan fikiran kepada rakyat Malaysia sepanjang perjalanan penjualan kereta mereka.
“Kehadiran Carsome di Sarawak mencatatkan peristiwa penting dan positif buat kami. Motivasi kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan CARSOME buat semua rakyat Malaysia, justeru menambah-baik ekosistem kereta terpakai dengan penggunaan data dan teknologi,” katanya.
Dengan pelancaran empat buah pusat pemeriksaan baharu di Sarawak – Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, Carsome kini memiliki 49 buah pusat pemeriksaan di seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette