Kumpulan pelajar terbabit menerangkan sistem yang akan diaplikasikan terhadap motosikal kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka sewaktu kajian lapangan dilakukan.

MELAKA – Sekumpulan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membangunkan produk inovasi yang dikenali sebagai Motorcycle Object Detection bagi mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.

Kumpulan pelajar tersebut adalah di bawah bimbingan Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) Dr Suhaila Mohd Najib dan seorang lagi pensyarah Siti Nur Suhaila Mirin.

Dr Suhaila berkata, produk ini dibangunkan bagi mengesan kehadiran objek dari arah bertentangan yang memasuki “Region of Interest” penunggang motosikal dan memberi amaran kepada penunggang motorsikal sekali gus dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh faktor pelanggaran dengan objek statik yang berada di atas jalan raya.

Kumpulan pelajar UTeM ini terdiri daripada empat orang ahli dan diketuai oleh Ahmad Irfan Harman (22 tahun) pelajar tahun 4 program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Komputer (Sistem Komputer) dengan Kepujian.

Tiga orang ahli lagi adalah Muhammad Qarl Farisz Bin Mohd Rahimi (23 tahun), Nurnajihah Hazirah Binti Azhari (21 tahun) dan Muhammad Daniel Bin Rahim (23 tahun) yang merupakan pelajar tahun 2, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri & Robotik) dengan Kepujian.

Jelas Ahmad Irfan, produk ini dibina dengan mengaplikasikan teknologi pembelajaran mendalam bagi mengesan beberapa objek statik yang
telah dikenalpasti menyumbang kepada peningkatan faktor kemalangan penunggang motosikal.

“Pengesanan objek yang dilakukan oleh sistem kawalan utama akan mengaktifkan sistem amaran bunyi melalui fon telinga yang terdapat didalam topi keledar dan juga lampu amaran yang dipasang pada hendal motorsikal.

“Selain itu, aplikasi Android yang dikenali sebagai “Hermes” juga telah dibangunkan bagi memudahkan penunggang motosikal mengawal kekuatan amaran bunyi dan juga kecerahan lampu amaran,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai cabaran pembangunan inovasi ini, Ahmad Irfan berkata, agak mencabar melatih sistem supaya dapat mengesan objek yang dikenalpasti
menyumbang kepada faktor kemalangan jalanraya oleh penunggang motosikal secara tepat dan jitu.

Ulasnya lagi, getaran yang terhasil daripada gerakan motosikal menyebabkan gambar yang diambil kabur juga merupakan salah satu cabaran bagi meningkatkan pengesanan objek secara tepat.

Menyentuh tentang harapan kumpulan, mereka berharap agar produk yang dihasilkan ini mampu untuk dijadikan sebagai produk yang mampu mendapat tempat dalam mana-mana pertandingan inovasi dan diaplikasi dalam dunia sebenar. – MalaysiaGazette