BERA – Perdana Menteri mengumumkan pembinaan 1,000 buah rumah teres satu tingkat untuk golongan berpendapatan rendah di Bera.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, Projek PPR Bera itu akan dibina di Bandar 34, dekat sini di atas tanah milik Kerajaan Negeri Pahang seluas 90 ekar.
”Walaupun projek PPR ini adalah khusus untuk golongan berpendapatan rendah, kerajaan sentiasa menitikberatkan keselesaan Keluarga Malaysia dengan memberikan penekanan kepada aspek saiz, reka bentuk, kualiti, lokasi dan harga rumah sentiasa diberi penekanan.
”Projek PPR Bera ini berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat dengan setiap unit rumah berkeluasan 750 kaki persegi, dilengkapi tiga buah bilik tidur, dua buah bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan langkan (yard),” katanya pada majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di Padang Kawad, Rejimen ke-34 Artileri Diraja (Kem Bera), di sini hari ini.
Katanya, projek ini bagi memenuhi keperluan tempat kediaman bagi mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah dan masih belum memiliki rumah.
Menurut Ismail Sabri, Projek PPR Bera ini merupakan projek baharu yang telah diluluskan pelaksanaannya di bawah peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Jelas beliau, pemberian subsidi bagi projek terbabit akan dibantu Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN), manakala Kerajaan Negeri Pahang pula akan menyediakan tanah.
Selain itu, katanya, kerajaan turut menyediakan 10 unit rumah berkenaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Projek ini membuktikan kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.- MalaysiaGazette