KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis politik mencabar Pas supaya meletakkan calon bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi calon DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Datuk Ramalan Yunus yang juga pakar ekonomi bebas turut mencabar Pas menyerang semua kubu kuat DAP serta mengislamkan seramai mungkin penyokong dari parti itu.
Ini kerana katanya, beliau hairan dengan sikap Pas yang terus menerus memainkan isu bahawa DAP adalah Kominis dan seolah-olah cuba menonjolkan bahawa parti itu adalah musuh politik utamanya.
“Bagi saya kalau benar DAP adalah komunis, parti tersebut tidak akan bertanding dalam proses demokrasi.
“Bukankah kominis menolak demokrasi dan juga kapitalisme?” soal beliau menerusi kenyataan.
Ramalan berkata, Pas perlu cakap serupa bikin kerana parti itu berpolitik dengan membawa jenama Islam.
Pada pengamatannya kata beliau, perjuangan Pas semakin hari semakin mengelirukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam.
“Apa sebenarnya yang boleh di banggakan sangat dengan perjuangan dan pencapaian PAS selama ini?
“Lihat sahaja Kelantan yang telah ditadbir oleh Pas selama lebih tiga dekad. Apa yang lebih Islamiknya Kelantan berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia?
“Selama hari ini, nak menghapuskan riba pun tak mampu,” ujarnya.
Menurut Ramalan lagi, paling menghairankan adalah apabila Pas lebih memilih untuk bersama Bersatu berbanding dengan UMNO.
Sedangkan sewaktu mahu menjalin kerjasama dengan UMNO, Pas bukan main lagi kompleks dalam membuat keputusan, katanya.
Namun kata beliau, apabila mahu bekerjasama dengan Bersatu, Pas begitu mudah sekali membuat keputusan tanpa perlu keputusan Majlis Syura, Majlis Teknikal dan tak perlu diuktamarkan pun.
“Jadi, memang tak salah saya menyeru para ahli-ahli dan penyokong Pas untuk meninggalkan Pas dan menyokong UMNO/BN demi mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.
“Kepada ahli-ahli Pas, tinggalkanlah Pas dan sokonglah UMNO/BN secara berjamaah. Pastikan UMNO/BN menang besar pada PRU15 ini.
“Pas dan Bersatu hanya memecah-belahkan undi Melayu sahaja. Ingatlah bahawa Islam tidak pernah menggalakkan perpecahan di kalangan umatnya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette