Thursday, December 12, 2024
Home Utama Jangan jual Peranti Siswa, pulangkan jika tidak mahu – Syed Saddiq

Jangan jual Peranti Siswa, pulangkan jika tidak mahu – Syed Saddiq

kes Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menasihatkan pelajar supaya tidak menjual PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diberikan kepada mereka secara percuma.

Menurutnya, pelajar tidak seharusnya menjual gajet Samsung Tab A8 yang diberikan Kerajaan kepada mereka untuk digunakan bagi tujuan membantu pembelajaran.

Syed Saddiq berkata, satu pertiga pelajar di Semenanjung tidak mempunyai gajet dan satu perdua pelajar di Sabah dan Sarawak tidak memiliki peralatan tersebut.

Justeru menurutnya, pelajar yang tidak memerlukan alatan  tersebut perlu memulangkannya supaya boleh diberikan kepada pelajar lain.

“Saya cari ad balik, dah tak jumpa. Janganlah jual. Kerajaan dah bagi untuk guna dan ramai lagi yang memerlukannya.

“Satu pertiga pelajar di Malaysia tak ada gajet. Di Sabah dan Sarawak satu perdua pelajar tak ada.

“Boleh serahkan kembali untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan lagi,” katanya di Twitter.

Heboh di media sosial sejak semalam tindakan seorang pelajar yang mahu menjual peranti yang diperolehi secara percuma itu dengan harga RM800.

Pelajar berkenaan mahu menukar gajet tersebut kepada iPad. Bagaimanapun tindakan beliau dikecam oleh banyak pihak.

Menerusi tangkap layar dikongsikan pengguna laman sosial pada Facebook B40 Buat Perangai Apa Hari Ini, pelajar tersebut didakwa menjual gajet itu menerusi sebuah laman jualan dalam talian.

“Dapat daripada Peranti Siswa, tak guna pun. Alasan jual, sebab nak tukar kepada iPad untuk kegunaan pelajar. Perlukan banyak penulisan dan buat nota,” kata pelajar tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 400,000 mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang layak dalam insentif Peranti Siswa menerima peranti berjenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dipetik berkata, jenama dan model itu yang ditawarkan oleh syarikat Samsung boleh menyokong pengguna kad sim rangkaian 4G dan LTE.

Annuar sebelum ini telah mengingatkan pelajar yang menerima tablet PerantiSiswa Keluarga Malaysia agar tidak menyalahgunakan atau menjualnya.
Beliau berkata, pelajar yang menerima peranti percuma itu perlu bertanggungjawab menjaganya dengan baik.
“Besar harapan saya walaupun peranti ini diberikan secara one-off (sekali beri), semua yang menerima harus menjaga peranti itu dengan baik.
“Tidak menyalahgunakan, tidak menjual dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast