KANGAR – DAP Perlis berhasrat untuk mempertaruhkan calon Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan berkata, pihaknya telah menghantar dua nama calon kepada DAP Pusat dan Pakatan Harapan (PH) untuk dipertimbangkan, namun bergantung kepada keputusan PH pusat kelak.
“DAP Perlis telah menghantar nama seorang calon wanita yang juga seorang peguam dan seorang calon lelaki Melayu. Setakat ini, DAP Pusat hanya memutuskan untuk meletakkan calon bertanding di DUN Titi Tinggi,” katanya.
Bercakap kepada Bernama ketika hadir Jelajah Mega Harapan Negeri Perlis malam tadi, beliau juga menyatakan hasrat untuk bertanding sekali lagi di DUN Titi Tinggi pada PRU15.
Teh serta calon Pas, Kamis Yub dan calon Bebas, Yaccob Man tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Teh Chai Ann yang memperoleh majoriti 142 undi bagi kerusi DUN Titi Tinggi pada PRU14.
Bagi kerusi DUN Mata Ayer semasa PRU14, calon BN, Siti Berenee Yahaya menang dengan majoriti 720 undi mengalahkan calon PH-PKR, Lt Kol (B) Azhar Omar dan calon Pas, Mohammad Yahya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di DUN Mata Ayer dan DUN Titi Tinggi hingga 9 Oktober 2022 ialah masing-masing seramai 9,662 dan 13,403 pengundi. – Bernama