Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – PKR akan mengumumkan semua calon parti itu yang akan bertanding di Semenanjung Malaysia bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malam ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, majlis pengumuman dan ceramah akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Kosas, Ampang bermula pukul 8.30 malam selepas Isyak.

Bagi membolehkan pengundi mengetahui latar belakang calon mereka boleh mendapatkan maklumat di laman sesawang PKR.

“Sebaik saja calon-calon diumumkan, rakyat Malaysia boleh meneliti biodata setiap calon di laman www.calonkeadilan.org

“Akuan bersumpah pengisytiharan harta setiap calon juga akan dipaparkan di laman tersebut untuk memudahkan pengundi mengenali mereka,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, profail dan latar belakang calon akan mula dihantar kepada pengundi di kerusi Parlimen masing-masing melalui media sosial dan WhatsApp mulai esok.

Sementara itu calon-calon PKR di Sabah dan Sarawak akan diumumkan minggu depan.

Calon Sabah akan diumumkan di Kota Kinabalu manakala bagi calon Sarawak ia akan diumumkan di Miri. – MalaysiaGazette