Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Pelancaran Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2022.

KUALA KANGSAR – UMNO Perak masih menunggu keputusan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak 126 nama, termasuk penyandang, telah dihantar ke ibu pejabat UMNO bagi proses saringan.

“Selagi belum dapat watikah yang telah ditandatangani oleh Pengerusi, tidak ada sesiapa pun boleh mengaku calon termasuklah Menteri Besar (Shaarani). Keputusan muktamad belum lagi.

“Nama-nama penyandang juga telah kita hantar kecuali yang telah tampil mendedahkan mereka tidak mahu dicalonkan atas beberapa faktor termasuklah sakit dan sudah berusia, itu kita tidak boleh elak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak menyatakan demikian selepas majlis Pelancaran Program ‘Mahasiswa Sejahtera’, di sini, hari ini.

Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beberapa hari lepas, Shaarani berkata, beberapa Ketua bahagian dan penyandang kerusi DUN telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU15. – MalaysiaGazette