Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (kiri) menyerahkan surat tawaran program SULUNG pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

BATU PAHAT – Nekad mahu mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada adik-beradik mendorong Kareshama S. Kumaresan, 19, menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor.

Usaha anak sulung daripada lima beradik itu akhirnya membuahkan hasil apabila bukan sahaja diterima masuk dalam kursus pilihannya Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia namun turut terpilih dalam Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia atau SULUNG.

Menurut Kareshama, pekerjaan bapanya sebagai mekanik menyebabkan terdetik di hatinya untuk  keluar daripada kehidupan susah dan beban untuk menanggung kos pengajian di menara gading.

“Ayah saya bekerja sebagai mekanik dan dia tidak mampu hendak menghantar anak-anak ke universiti dan saya berpendapat Program SULUNG telah mengurangkan beban kos untuk saya belajar di universiti.

“Apabila diberitahu terpilih, saya berasa gembira sangat kerana ayah hendak saya jadi jurutera kimia apatah lagi kursus yang sama jadi rebutan ramai pelajar.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Kareshama ap S. Kumaresan. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

“Menerusi Program SULUNG ini, saya menerima pelbagai bantuan antaranya bantuan sara hidup, elaun pelajar, peranti dan bantuan kursus pengajian yang tidak lagi membebankan,” katanya penuh teruja ketika ditemui pada majlis pelancaran Program SULUNG di Universiti Tun Hussein Onn di sini kelmarin.

Program SULUNG merupakan cadangan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad untuk dilaksanakan secara rintis di mana menggunapakai penanda aras beberapa contoh program yang hampir serupa di negara luar seperti program “First in Family” di United Kingdom dan Australia, dan “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (AS).

Program itu bertujuan untuk memberikan peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40, yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas, untuk menyambung pengajian mereka terutama pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.

Mengulas lanjut, Karashema yang merupakan kelahiran Ipoh, Perak itu turut memuji permohonan program SULUNG yang memudahkan dan tidak menyukarkan dirinya dengan kerenah birokrasi.

“Saya terima emel dari pihak universiti pada Ogos lalu dan diminta mengisi borang dan perlu menunggu untuk tapisan sebelum wakil universiti datang rumah dan menemubual saya lebih lanjut.

“Harapan saya agar lebih ramai golongan pelajar seperti saya dapat bantuan Program SULUNG ini dan mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

“Saya juga ingin mengucap terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad yang memberi peluang kepada kami ke menara gading menerusi Program SULUNG ini,’ katanya.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Prof Datuk Ts. Dr. Yuserries Zainuddin (tiga kiri) menyerahkan bantuan awal BiasiswaSULUNG kepada Saidatulnisya Saad selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan SiswaSULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

Seorang lagi pelajar yang terpilih, Saidatulnisya Saad pula memberitahu, dia pada mula menolak tawaran menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan kerana berdepan masalah kewangan.

Jelas pemegang diploma itu, ini kerana dia lebih selesa untuk bekerja terlebih dahulu agar kewangan lebih stabil sebelum menyambung pelajaran.

Namun dia berubah hati apabila dipujuk oleh wakil UMP apatah lagi mengenangkan impian bapanya yang bekerja kampung dan ingin melihat dia menyambung pengajian dalam sarjana muda.

“Saya dapat tahu tercalon dalam Program SULUNG ketika sedang bekerja namun saya kurang percaya. Namun apabila disahkan terpilih, saya berbelah bahagi kerana hendak kerja dahulu sebelum sambung sarjana muda.

“Ini kerana saya berdepan masalah kewangan dan saya tolak tawaran pengajian di UMP. Tetapi pihak UMP telefon saya dan beri nasihat dengan memujuk agar terima tawaran ini.

“Selepas berfikir panjang, saya akhirnya menerima tawaran belajar dan progra, SULUNG kerana rugi jika menolak peluang program ini yang memberi banyak kelebihan.

“Saya berharap usaha sambung belajar ini dapat menjadi pendorong untuk adik saya di mana kami dapat mengubah nasib keluarga pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Gemenceh, Negeri Sembilan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (kiri) menyerahkan surat tawaran program SULUNG pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

Sementara itu, pada majlis pelancaran Prgram SULUNG, Noraini memberitau, pengambilan pertama Program SULUNG atau Kohort 1 tahun 2022 baru sahaja bermula pada bulan Oktober ini di mana terdapat lapan Universiti Awam (UA) perintis yang terlibat.

UA itu adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

Noraini berkata, seramai 76 orang pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke Insituti Pengajian Tinggi Awam melalui UPUOnline telah terpilih ditawarkan sebagai siswa SULUNG.

“Uniknya, siswa SULUNG yang terpilih menyertai program ini bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke UA tetapi turut ditawarkan bantuan kewangan dalam bentuk derma siswa merangkumi yuran pengajian, yuran-yuran berkaitan, elaun serta bantuan seperti elaun sara hidup dan bantuan komputer riba.

“Di samping itu, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian turut disediakan untuk siswa SULUNG selain mendapat bimbingan daripada Pembimbing SULUNG dan Penasihat Akademik bagi memastikan pelajar-pelajar ini dapat fokus kepada pengajian,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) menyempurnakan gimik SULUNG pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.