ALOR GAJAH – Seramai 20 penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas bas dinaiki terbalik di Kilometer 193.2 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, seramai 16 penumpang lelaki dan tiga wanita serta pemandu lelaki terselamat dengan keluar dari kenderaan terbabit yang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Batu Pahat, Johor.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Iswandy Aripin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 pagi sebelum sepasukan 21 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian didapati nahas melibatkan sebuah bas ekspres dari arah KLIA ke Batu Pahat, Johor yang terbabas di bahu kiri jalan.
“Semua 20 penumpang terdiri daripada 16 lelaki dan empat perempuan serta pemandu lelaki berusia 29 tahun bagaimanapun berjaya keluar dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Tambahnya, operasi ditamatkan pada pukul 10.45 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain kesan daripada nahas itu. – MalaysiaGazette.