Muhammad Adli Azhar dan isteri, Nurul Effa Syamira Saimi

KUANTAN – Bermula dengan hanya lenguh biasa, seorang pekerja am sama sekali tidak menyangka akhirnya didiagnos menghidap barah tulang.

Menurut Muhammad Adli Azhar, 29, pada awalnya, dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami lenguh berterusan di bahu kanannya.

“Lenguh dia macam orang buat kerja berat. Lepas saya berkahwin pada Februari, bahu memang tak boleh nak angkat. Saya ke hospital buat x-ray, doktor cakap frozen shoulder,”katanya ketika ditemui di Taman Balok Sejahtera hari ini.

Muhammad Adli Azhar dan isteri, Nurul Effa Syamira Saimi menunjukkan keputusan x-ray keadaan tulang yang telah reput di Kuantan, Pahang hari ini.

Tidak mengesyaki sakit yang dialami serius, Muhammad Adli kembali bekerja mengangkat barang di Gebeng namun bahunya tiba-tiba terkehel.

“Saya ingat terkehel biasa. Urut biasa pun tak jadi apa, jadi saya ke hospital lagi untuk x-ray dan doktor cakap patah dan ada tulang yang reput.

“Keesokannya saya di pindah ke Klinik Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan doktor jalankan pemeriksaan menyeluruh, ujian X-ray, CT Scan, Magnetic Resonance Imaging (MRI), mengambil sampel darah dan daging,” jelasnya.

Tatkala diberitahu menghidap kanser tulang, Muhammad Adli  tidak percaya kerana tiada seorang pun ahli keluarganya pernah mempunyai sejarah penyakit barah.

Apabila pihak hospital memaklumkan kos rawatan yang terpaksa ditanggungnya agak tinggi, dia semakin kusut kerana dia kini direhatkan oleh majikannya ekoran keadaan kesihatannya itu.

“Doktor cakap kosnya dalam RM38,000 untuk tukar tulang dengan besi sahaja. Itu tak termasuk perubatan lagi,” luahnya.

Bagaimanapun, Muhammad Adli kini bekerja sambilan di sebuah bengkel membaiki motosikal milik rakannya untuk mencari pendapatan bagi menampung kos rawatan, bayaran rumah sewa dan perbelanjaan harian.

Dia kini melalui proses kimoterapi kedua di hospital di Kuala Lumpur dan perlu menyelesaikan dua lagi sesi sebelum mengetahui tarikh pembedahan bagi membuang ketumbuhan yang semakin membesar di bahu kanannya itu.

Sementara itu, isterinya, Nurul Effa Syamira Saimi, 25, ketika ditemui meluahkan perasaan sebak kerana diuji sebegitu tatkala baru mendirikan rumah tangga pada Februari tahun ini.

Nurul Effa Syamira Saimi

“Saya rasa sebak. Saya cuma mampu buat apa yang saya daya selagi saya bernyawa, saya akan jaga suami saya. Saya cuma mampu berdoa dan minta suami saya sembuh seperti sediakala,” ujarnya.

Difahamkan, pasangan itu baru sahaja dimaklumkan pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bahawa permohonan bantuan secara one off sebanyak RM1,000 telah diluluskan.

Selain itu, MUIP juga akan membantu urusan permohonan bantuan secara bulanan sekitar RM400 hingga RM500 sebulan selain bantuan baucer bulanan e-purse di Pasaraya Darul Makmur (PDM) sebanyak RM200 bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Namun Muhammad Adli masih memerlukan peruntukan sekitar RM38,000 bagi urusan pembedahan dan rawatan lanjut.

Justeru, orang ramai yang mahu membantu pasangan ini boleh berbuat demikian dengan menghubungi Muhammad Adli di talian 017-907 5973 atau menyumbang bantuan ke Akaun CIMB : 7607317219 (Muhammad Adli Azhar). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast