KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berehat daripada politik dan memberi tumpuan kepada kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia, Hanif Jamaluddin berkata, Syed Saadiq perlu menyerahkan kepimpinan MUDA kepada individu lain bagi mengelakkan anak muda hilang kepercayaan kepada ahli politik.

“Kes Presiden MUDA itu suatu perkembangan yang telah menjejaskan lagi kepercayaan anak muda terhadap ahli politik. Pemuda Pas menyarankan Syed Saddiq agar berehat daripada politik sehinggalah kes mahkamah beliau selesai.

“Kita tidak mahu kepercayaan anak muda terhadap politik negara semakin diragut hanya kerana Syed Saddiq mahu dilihat ‘kuat’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan Syed Saddiq membela diri berhubung empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Keputusan itu dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq perlu mencontohi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar yang berehat daripada memimpin UMNO kerana telah terpalit dengan kes mahkamah pada 2018.

“Jika UMNO boleh buat, kenapa YB MUDA terpaling bersih seperti Syed Saddiq tidak boleh berbuat sedemikian juga? Siakap senohong, gelama ikan duri; manifesto bohong, sekarang hendak mencuri?

“Cukuplah Syed Saddiq, berehatlah sebentar dan pulihkan imej anda. Tiba masanya anda berlaku adil dengan kata-kata anda selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette