MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka memberi amaran kepada mana-mana individu yang tidak diumum calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya membantu calon parti bertanding.
Pengerusinya Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai ahli yang cintakan parti, nama yang digugurkan pucuk pimpinan parti perlu berlapang dada dan menterjemahkan semangat mereka melalui kemenangan calon yang diketengahkan.
“Kita (malam tadi) telah memberikan gambaran di dalam mesyuarat agar nama yang tak terpilih sebagai calon bertanding yang akan diumumkan pimpinan pusat malam ini supaya menyokong calon dipilih.
“Ini (pencalonan) bukan hak peribadi (tapi) inilah hak parti yang selama ini kita mesti faham perjuangan kita berlandaskan pada kekuatan parti bukannya individu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Barisan Nasional (BN) Negeri di Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, BN Melaka sedang mengatur gerak kerja terancang bagi mengulangi kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri November tahun lalu pada PRU15.
“Maka itu seluruh jentera-jentera pilihan raya telah digerakkan bagi memastikan pattern (corak kerja) yang kita buat masa PRN tempoh hari diaktifkan semula bagi memastikan kemenangan di kawasan-kawasan sasaran.
“Siapa sahaja calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti pastinya telah mengambil kira pelbagai sudut untuk mengimbangi tuntutan masyarakat sosial hari ini yang memerlukan kombinasi tokoh-tokoh dalam mewarnai politik di Melaka,” katanya.
BN dan Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan calon parti bertanding dalam PRU15 malam ini secara serentak dari dua lokasi berlainan di ibu negara malam ini.
BN akan mengumumkan calon mereka di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) manakala PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pada PRN Melaka 20 November lalu, BN menang selesa apabila menyapu bersih 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hanya lima kerusi dimenangi Pakatan Harapan selain Perikatan Nasional hanya memperoleh dua kerusi. – MalaysiaGazettte.