Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UOB telah selesai pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand manakala urus niaga di Indonesia dan Vietnam dijangka selesai pada 2023.

Perniagaan pengguna terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit Citigroup.

Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi UOB untuk meningkatkan perniagaan runcit di ASEAN melangkaui pasaran asalnya di Singapura.

UOB berkata, apabila selesai, pengambilalihan ini dijangka menggandakan asas pelanggan runcit sedia ada UOB di empat pasaran tersebut kepada 5.3
juta pelanggan selain menambahkan 5,000 kakitangan kepada tenaga kerjanya.

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wee Ee Cheong berkata, penyelesaian pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand merupakan peristiwa penting dalam usaha untuk terus melabur dalam francais serantau.

Pengambilalihan ini memberikan skala yang lebih besar dan adalah sejajar dengan hasrat bank ini untuk menjadi bank pilihan para pengguna dan peniaga di ASEAN.

“Kami komited memastikan pelanggan Citigroup mengalami peralihan yang lancar. Titik sentuh (touchpoint)dan rangkaian rakan kongsi kami yang diperluaskan juga membolehkan penyediaan rangkaian produk, perkhidmatan dan manfaat yang lebih luas kepada asas pelanggan yang besar,” katanya dalam kenyataan di sini.

UOB akan terus memberi tumpuan untuk memastikan peralihan perniagaan Citigroup berjalan lancar di kesemua empat pasaran, dengan matlamat mencapai integrasi sistem sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Ee Cheong berkata, untuk menerajui perniagaan runcit yang diperluaskan di Malaysia dan Thailand, UOB telah melantik empat eksekutif kanan iaitu
Elaine Fan sebagai Ketua Peruncitan dan Jenama; Ronnie Lim Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi bagi UOB Malaysia; Vira-Anong Chiranakhorn Phutrakul, Ketua Peruncitan dan Jenama dan Yuttachai Teyarachakul, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi untuk UOB Thailand. – MalaysiaGazette