GEORGE TOWN – Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) serta Warisan, setakat hari ini.

Ia susulan empat parti politik itu sudah menamakan calon masing-masing di kerusi panas tersebut.

Pertembungan empat calon itu melibatkan Datuk Muhammad Yusoff Mohd Nor mewakili BN, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN), Razak Ridzuan (PH) dan Mohd Akmal Azhar (Warisan).

Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan kerusi itu bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru susulan Gerakan Tanah Air (GTA) dikatakan menunjukkan minat untuk menempatkan calon mereka di Parlimen tersebut.

Selain itu, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad turut dikhabarkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Desas-desus kuat mengatakan beliau akan bertanding atas tiket bebas susulan aktif melakukan kerja-kerja menjaga kebajikan penduduk setempat sejak setahun lalu.

Namun, tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara dikeluarkan pihaknya.

Pada 19 Oktober lalu MalaysiaGazette melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin parti itu mampu merampas semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.

Bagaimanapun, Shabudin yang menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut selama dua penggal sejak PRU13 atas tiket UMNO, mengumumkan keluar parti pada 14 Disember 2018 sebelum menyertai Bersatu pada 2019. – MalaysiaGazette