Hasan Rahman

JASIN – Isu sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Jasin yang ditutup sejak tiga hari lalu berjaya diselesaikan selepas semua pusat itu kembali dibuka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, antara sembilan PDM terbabit adalah Parit Perawas, Sebatu, Tehel dan Kesang yang didakwa berpunca daripada nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad diumumkan calon Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi Parlimen Jasin.

Menurutnya, isu berkenaan bagaimanapun dapat diselesaikan melalui perbincangan dan kerjasama memastikan kemenangan Roslan menjelang hari pengundian 19 November ini.

“Sebelum ini memang ada sembilan PDM dan beberapa bilik gerakan ditutup sejak Isnin lalu, namun selepas perbincangan dengan semua ketua PDM terbabit, perkara ini dapat diselesaikan.

“Kini semua sembilan PDM dan bilik gerakan terbabit sudah dibuka menjadikan semua 38 PDM di Jasin beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban, di sini, hari ini.

Hasan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai berkata, hampir 40,000 penyokong BN di Parlimen itu kini sedang bertungkus lumus memastikan kerusi tradisi itu kekal menjadi milik BN. – MalaysiaGazette