Wee Ka Siong (kiri) ketika menghadiri Program Komuniti Ayer Hitam lebih baik cegah, AADK Negeri Johor di Dewan Putra Ayer Hitam, di sini, hari ini.

AYER HITAM – Barisan Nasional (BN) Ayer Hitam akan memastikan tiada isu perkauman dimainkan pihaknya ketika tempoh 14 hari berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Calon BN di Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerusi Ayer Hitam antara kerusi tumpuan dalam pilihan raya kali ini dan ada pihak-pihak tertentu sudah mula memainkan isu tersebut.

“Saya sendiri tiada masa untuk melayan dan sentimen perkauman atau isu agama tidak seharusnya dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak dalam tempoh ini.

“Perbuatan itu hanya mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Komuniti Ayer Hitam lebih baik cegah, AADK Negeri Johor di Dewan Putra Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Ka Siong yang juga penyandang kerusi Ayer Hitam berkata, BN juga mengalu-alukan kehadiran pelbagai kaum dan sentiasa menerima pandangan sesiapa sahaja demi pembangunan di Ayer Hitam.

“Dalam keadaan sekarang, BN lebih mementingkan kestabilan semua lapisan masyarakat supaya agenda pembangunan dan kemajuan dapat direalisasikan.

“Mana-mana parti politik jangan cuba menyalakan api perkauman, jangan cuba mainkan isu agama sehingga membangkitkan keresahan dan kemarahan rakyat,” katanya.

Menurut Ka Siong, semua pihak terutama pemimpin parti politik perlu mengutamakan perpaduan antara kaum dan mengamalkan sikap bertolak ansur bagi menjamin kesejahteraan dan kemananan rakyat.

“Kita berkempen secara budiman dan tidak akan menyerang sesiapa pun termasuk pihak pembangkang.

“Saya minta semua pihak bertenang dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak sopan dan serangan yang boleh memudaratkan,” katanya. – MalaysiaGazette