KUALA LUMPUR – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou terus berada di puncak prestasi terbaik apabila merangkul gelaran juara ketujuh pada Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo, Jepun, hari ini.
Pemain berusia 34 tahun itu tidak berdepan kesukaran apabila menewaskan musuh tradisinya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-14, 21-12 pada aksi final kategori SU5.
Kejayaan itu cukup manis apabila pemenang pingat emas Paralimpik 2020 itu merampas kembali kejuaraan selepas kali terakhir memenanginya di Ulsan, Korea Selatan 2017, selepas kecundang di pentas separuh akhir pada edisi 2019 di Basel, Switzerland.
Pada kejohanan dunia 2019, Liek Hou bukan sahaja terpaksa melepaskan penguasaan dalam acara perseorangan lelaki SU5 selepas tewas kepada Dheva Anrimusthi, malah turut kehilangan kedudukan nombor satu dunia.
Dia yang bergandingan bersama Faris Ahmad Azri akan berdepan pasangan Indonesia, Dheva-Hafizh Brilliansyah Prawiranegara bagi perebutan gelaran juara petang ini.