ALOR GAJAH – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan pengurusan sebuah surau di sini yang menolak kehadirannya pada program pagi tadi.

Perkara itu dikongsi dalam satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook rasminya hari ini mengenai tindakan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al Iman, Taman Indah itu.

“Saya dah sampai dah di Surau Al Iman, Taman Indah. Jadual sepatutnya saya bergotong royong dengan jemaah di sini pagi ni, telah dimaklumkan yang mereka tak dapat terima kehadiran saya atas sebab-sebab tertentu.

“Hmm…Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh,” tulisnya sambil menyoroti kisah bagaimana dia membantu surau berkenaan sebelum ini.

Menurutnya yang juga penyandang Parlimen berkenaan, beliau masih ingat bagaimana dia membantu ketika waktu awal surau itu dibuat.

“Saya dengan kawan-kawan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah buat program di sini dan ada permintaan dari jemaah untuk saya buatkan jalan tar menuju ke surau bagi kemudahan jemaah. Ia telahpun saya luluskan waktu itu.

“Apapun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan,” tulisnya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini, Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal berdepan dengan saingan empat penjuru.

Beliau akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid, calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memenangi kerusi itu atas tiket BN pada PRU14 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Bila nak PRU baru nak datang gotong royong ya… sebab tu kena halau.. sebab motif politik kat situ.. jangan nak semakkan institusi agama dengan hal politik

  2. Pembelot katak tidak akan diterima pengundi Masjid Tanah lagi . Inilah balasan bila maruah di gadaikan kerana kuasa dan jawatan .

Comments are closed.