Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran

IPOH – Tidak timbul isu satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dan ia hanya naratif pembangkang semasa pilihan raya.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, bila musim pilihan raya pelbagai naratif direka pembangkang bagi mengelirukan masyarakat.

“Bukankah sudah dimaklumkan bahawa calon Perdana Menteri BN ialah Datuk Seri Ismail Sabri?,” katanya yang merupakan calon BN bagi Parlimen Sungai Siput kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, pembangkang asyik mengulangi isu ‘satu undi’ berikutan kekeringan modal.

Menurut Vigneswaran, isu itu akan lenyap dengan berakhirnya pilihan raya, seperti mana mereka menghilangkan diri apabila tanggungjawab dan amanah tidak dilaksanakan.

Katanya, pembangkang sering menyalahkan BN sekiranya apa yang dilakukan menemui kegagalan, malah apabila pemimpin mereka tumbang ketika memerintah negara BN juga yang dipersalahkan.

Berikutan itu, Vigneswaran berkata, pembangkang tidak mempunyai masa berkhidmat untuk rakyat kerana terlalu asyik berpolitik.

Katanya, ia terbukti apabila pembangkang yang berkuasa selama 22 bulan gagal mentadbir negara selain tidak dapat memperkasakan ekonomi sepanjang tempoh tersebut

Kini mereka mahu berkuasa lagi dengan menggunakan pelbagai naratif dan cerita lapuk untuk mengelirukan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette