TAIPING – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan masa yang baik untuk golongan muda melakukan transformasi terhadap politik negara dan masa depan mereka.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Taiping, Neow Choo Seong berkata, anak muda perlu bangkit dan memainkan peranan bagi memastikan pilihan raya menjadi medan penentuan pemimpin yang mampu menerajui negara.
“Bagi saya ini juga satu peluang untuk kita transformasikan bukan sahaja politik tetapi masa depan kita sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Menurut Choo Seong, banyak yang perlu diperkasakan, khususnya di Taiping, termasuk pembangunan golongan muda yang terbantut sejak kebelakangan ini yang dikaotkan dengan keadaan ekonomi.
Ia menyebabkan ramai graduan yang tamat pengajian berdepan masalah mendapat pekerjaan, ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, rakyat masih lagi merasa kesan penularan Covid-19 dan beliau sedih apabila mendengar keluhan mereka apabila beliau turun padang.
Mengenai perebutan kerusi Parlimen Taiping, Choo Seong yang merupakan muka baharu berkata, sebagai anak tempatan beliau memahami jiwa, nadi dan keperluan masyarakat setempat.
“Saya lahir di sini, membesar di Taiping cuma berpendidikan di luar Taiping, itu sahaja. Saya menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia kemudian mula berkhidmat di Wisma Putra selama hampir 13 tahun sebagai pegawai tadbir diplomatik, saya di hantar untuk berkhidmat di Amerika Syarikat (AS) dan juga Venezuela sebelum ini.
“Tetapi keluarga saya di sini, kawan-kawan, kenalan malah jiwa saya juga sentiasa di sini,” ujarnya.
Menurutnya, beliau diberikan amanah yang besar oleh parti apabila dipilih menjadi calon di tempat saya sendiri dan daripada pengalamannya di merata tempat akan digunakan sebagai misi untuk membangunkan Taiping. – MalaysiaGazette