Tian Chua. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Calon Bebas Parlimen Batu, Tian Chua tidak akan tunduk dengan desakan penyandang kerusi itu, P. Prabakaran dari Pakatan harapan (PH) supaya beliau menarik diri daripada bertanding di kawasan tersebut.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, apa yang penting ketika ini ialah memberi peluang kepada rakyat menilai perkhidmatan yang akan diberikan calon menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya rasa daripada mendesak seseorang berundur adalah lebih baik meletakkan nasib politik kita kepada kebijaksanaan pengundi siapa lebih layak dan berhak menjadi wakil suara mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat beliau di Jalan Sentul, di sini, hari ini.

Menurut Tian Chua, sekiranya Prabakaran yakin perkhidmatannya selama empat tahun lepas diterima baik pengundi Batu, maka beliau tidak perlu risau tentang calon bebas akan memecahkan undi pada persaingan 10 penjuru di Parlimen Batu.

Terdahulu, Prabakaran mendesak Tian Chua menarik diri daripada bertanding di Parlimen Batu kerana khuatir kehadiran bekas Naib Presiden PKR itu boleh mendatangkan risiko kepada Pakatan Harapan (PH) kehilangan kerusi tersebut kepada Barisan Nasional (BN) berikutan undi pecah.

Bagaimanapun Tian Chua persaingannya dalam merebut kerusi Batu bukannya bertujuan untuk memecah undi kerana masyarakat akan mengiktiraf sumbangan seseorang calon.

Berikutan itu, katanya, beliau tidak bergantung kepada logo atau nama parti politik untuk memenangi kerusi Parlimen Batu.

“Mandat yang dia (Prabakaran) perolehi pada 2018 adalah mandat yang saya wartakan dari pengundi saya yang mana saya cakap kepada pengundi kalau mereka semua yakin pada saya tolong undi dia, maka pengundi yang percaya dengan kata-kata saya terus mengundi Prabakaran dan memenangkannya.

“Pada pusingan kali ini, Prabakaran perlu keluar membuktikan sendiri bahawa dia peroleh mandat dengan sendiri dan harus membuktikan kepada pengundinya dan biarlah pengundi Batu tentukan,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan beliau bukan seorang reformis yang bijak kerana menentang calon PKR, Tian Chua berkata, ia tiada kaitan dengan reformis.

“Baik sebelum atau selepas saya masuk parti politik PKR, komitmen saya terhadap nilai-nilai reformasi tetap sama,” katanya. – MalaysiaGazette