KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berjanji akan memperkenal sistem persekolahan tanpa buku teks iaitu melalui sesi pembelajaran menggunakan komputer riba jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu turut disertakan dengan pakej pemberian komputer riba secara percuma bagi golongan B40.
“Agenda pendigitalan pendidikan akan dilakukan secara besar besaran. BN juga berjanji akan memastikan 100 peratus liputan internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN secara maya, di sini, malam ini.
Menurut Zahid, langkah itu juga sebagai tanda keprihatinan BN mendengar keluhan ibu bapa serta warga pendidik yang bimbang dengan masalah beg berat sehingga menjadi isu nasional baru-baru ini.
Tawaran BN dalam memastikan agenda pendigitalan negara itu juga dapat memudahkan urusan mengemaskini sukatan pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Terdahulu, BN memperkenalkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) untuk rakyat negara ini sebagai manifesto PRU15.
PADU mengandungi 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air untuk menjadi negara berkemajuan. – MalaysiaGazette