Calon Barisan Nasional (BN) N.16 Kamunting, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sekitar jalan Taiping, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 06 NOVEMBER 2022.

KAMUNTING – Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie mahu memberikan fokus kepada tiga perkara utama iaitu ekonomi, pendidikan dan juga menyentuh elemen sosial masyarakat.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Taiping itu berkata, banyak perkara yang terbantut dan ketinggalan sejak 15 tahun ini dan semuanya perlu diperbetulkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini.

“Saya telah menjadi Ketua UMNO Bahagian Taiping hampir 14 tahun tapi inilah kali pertama saya bertanding, selama ini saya banyak melakukan kerja-kerja belakang tabir, mendekati rakyat kita sejak tsunami 2008. Kita mendengar dan memahami kehendak dan keperluan rakyat.

“Malah manifesto saya untuk warga Kamunting juga menyentuh semua elemen, fokus kepada tiga elemen penting terutamanya ekonomi, pendidikan dan juga sosial yang menjadi asas kepada pembangunan berteraskan individu, keluarga, masyarakat dan warga Kamunting secara khususnya.

Tagline saya sendiri adalah, ‘Kamunting Makmur, Rakyat Sejahtera’. Perkara utama yang kita akan sentuh dalam aspen ekonomi ialah menyediakan kemudahan infrastruktur termasuk menaiktaraf pasar sedia ada.

“Kita juga lancar IKS Pintar yang mana buka ruang dan peluang kepada penduduk Kamunting aktif dalam industri kecil dan sederhana menggunakan teknologi terkini. Tidak lupa juga menyediakan kemudahan perniagaan khasnya golongan muda selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada semua golongan tidak kira siapa,” katanya ketika ditemui di sini.

Calon Barisan Nasional (BN) P.060 Taiping, Neow Choo Seong bersama calon Barisan Nasional (BN) N.16 Kamunting, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie menyantuni penduduk warga cina dan india sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sekitar jalan Taiping, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 06 NOVEMBER 2022.

Kata Ahmad Shalimin, selain ekonomi, beliau juga amat dekat dengan elemen pendidikan yang penting buat warga Kamunting di sini.

“Saya amat aktif dalam melibatkan diri dengan apa sahaja berkaitan pendidikan terutamanya sekolah. Tidak kira sekolah Kebangsaan mahu Cina atau Tamil, semuanya menjadi fokus saya di sini. Kini saya keluarkan manifesto saya sendiri yang memberi keutamaan dalam perkara ini.

“Antara yang akan dilakukan oleh saya di Kamunting ini termasuklah mewujudkan Program Sekolah Angkat Universiti Institut Pengajian Tinggi, tidak lupa dengan tuisyen percuma, juga memperkasakan PIBG melalui program bersama pusat khidmat kita.

“Juga pembangunan modal insan melalui kolej Vokasional Taiping selain melestarikan pendidikan tinggi Taiping secara keseluruhan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, satu lagi yang menjadi fokusnya ialah elemen sosial dengan menitikberatkan pengurusan dan penyelengaraan infrastruktur khasnya sisa buangan serta perkhidmatan yang disediakan majlis tempatan.

“Kita juga akan menyediakan kemudahan sukan bagi melahirkan generasi sihat Kamunting. Rumah ibadat juga tidak akan kita lupakan, pastikan semuanya dalam keadaan baik sekali. Kita akan meraikan semua perayaan bagi memastikan keutuhan kaum dalam kalangan kita sentiasa kuat.

“Ada lagi komitmen kita kepada Kamunting, kita akan melestarikan simpanan hari tua melalui sumbangan KWSP kepada senarai e-kasih Kamunting dan juga tambah baik jalan untuk keselamatan semua pihak.

“Harap semua inisiatif akan mendapat perhatian warga Kamunting dengan memberikan kita kemenangan agar  kita dapat bawakan kestabilan dan kemakmuran bersama,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast