Mohd Rashid Hasnon

BATU PAHAT – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Rashid Hasnon mengakui terpaksa kerja lebih keras semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini.

Ia disebabkan beberapa isu yang mewarnai politik tanahair terpaksa dijelaskan kepada pengundi-pengundi di kawasannya lebih-lebih lagi, beliau kini bertanding bukan atas tiket Pakatan Harapan yang menjadi kemenangannya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Namun katanya, atas faktor beliau sudah dikenali di Batu Pahat, perjalanan kempennya agak mudah tetapi, perlu lebih masa untuk menjelaskan perkara-perkara yang dibangkitkan.

“Ada yang bertanya dan minta penjelasan daripada saya dan saya juga ada beri penerangan tentang mengapa saya berpindah daripada, kalau dulu 2018 parti saya ketika itu adalah Pakatan Harapan.

“..jadi selepas dua tahun saya tukar kepada Bersatu dan sekarang Perikatan Nasional,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi ramah mesra bertemu masyarakat di bangunan Arked MARA, di sini, malam tadi.

Mohd Rashid berkata, ketika berkempen kebanyakan pengundi yang ditemui mempunyai pandangan agak “skeptikal” terhadap isu peralihan kerajaan sebelum ini.

Ujar beliau, ada dalam kalangan mereka yang ditemui cuba memahami dan ada yang langsung tidak boleh menerima perkara itu.

Jesteru katanya, beliau mengambi pendekatan menerangkan berkenaan Akta Anti Lompat Parti yang telahpun berkuat kuasa, yang mana tiada lagi pemimpin  boleh melompat selepas ini.

“Saya sebut bahawa kedudukan saya sebagai seorang yang dipecat, bukan yang keluar daripada parti sebelum ini…jadi, saya bukan dalam kategori (lompat parti).

“Saya bagi penerangan seperti itu. sebagai seorang Timbalan Speaker saya tahu kedudukan itu, take time tu nak explain tentang akta anti lompat parti,” tambahnya.

Mohd Rashid akan menghadapi saingan lima penjuru pada PRU kali ini.

Beliau dicabar oleh calon dari Barisan Nasional (BN), Ishak@ Mohd. Farid Siraj; Onn Abu Bakar (PH); Zahari Osman (Parti Rakyat Malaysia) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir (Pejuang).

Pada PRU14, Mohd Rashid yang bertanding atas tiket PKR menang majoriti 17,894 undi menewaskan calon BN, Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Untuk rekod, Parlimen Batu Pahat mempunyai seramai 122,910 orang pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast