Calon Barisan Nasional P.136 Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong bercakap kepada media selepas menyantuni peniaga dan pengunjung ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Malam Lereh, Tangga Batu, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 November 2022.

MELAKA – Sektor ekonomi asal Parlimen Tangga Batu dalam bidang pertanian dan perikanan akan terus diperkasakan Barisan Nasional (BN) sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Calonnya, Datuk Lim Ban Hong yang juga Pengerusi MCA negeri berkata, sebagai anak jati Melaka, beliau akan memastikan golongan petani dan nelayan tidak dipinggirkan dalam agenda pembangunan kawasan berkenaan.

Malah, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang itu, pembangunan mikro kecil sederhana (PMKS) yang turut menjadi nadi ekonomi di dalam Parlimen itu juga akan terus diberi perhatian.

“Sebagai anak jati Melaka, saya tahu sektor ekonomi asal di sini yang mempunyai pantai, laut, adalah perikanan kepada nelayan-nelayan dan pesawah serta petani.

“Jadi dari segi itu kita perlu bantu sediakan infrastruktur lebih baik untuk nelayan bagi mempermudahkan lagi mata pencarian mereka, begitu juga pesawah dan petani yang memerlukan sistem pengairan yang lebih sempurna,” katanya ketika ditemui dalam kempennya, hari ini.

Jelas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu lagi, turut diberi perhatian adalah pembangunan dalam sektor pembuatan untuk membawa pelaburan berteknologi tinggi sekaligus mewujudkan peluang kerja berkelas profesional.

“Ini adalah antara aspek pembangunan yang akan difokuskan  sekiranya diberi mandat oleh pengundi Tangga Batu selain pemerkasaan PMKS kerana terdapat banyak perusahaan kecil seperti pasar malam dan pasar tani di sini,” katanya.

Ditanya mengenai slogan yang akan dibawa dalam kempen pilihan rayanya menjelang hari mengundi 19 November ini, beliau melihat Tangga Batu perlu mempunyai nilai-nilai kelestarian ESG iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Untuk keseimbangan pembangunan, kita bukan sahaja akan fokus kepada ekonomi tapi juga alam sekitar yang mana perlunya ada unsur-unsur kelestarian dan kemampanan dalam ESG.

“Kesejahteraan dan kebajikan rakyat juga perlu terus diberi keutamaaan di bawah Parlimen yang mempunyai empat kawasan DUN ini,” katanya.

Pada PRU15, Parlimen Tangga Batu yang sebelum ini menjadi kubu kuat BN bakal menyaksikan saingan lima penjuru antara Ban Hong, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan Rusnah Aluai, calon Perikatan Nasional (PN) Bakri Jamaluddin mewakili Pas.

Dua calon lain adalah Gerakan Tanah Air (GTA) mewakili Pejuang, Ghazali Abu dan seorang calon Bebas, Mohammad Shahril Mahmood di kerusi yang mempunyai 115,998 pengundi itu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast