BATU PAHAT – Perjalanan kempen di kawasan Parlimen Batu Pahat dilihat agak hambar meskipun aktiviti berkempen sudah masuki hari ketiga.
Ini kerana, kurang kelihatan perang bendera yang kebiasaannya menghiasi setiap sudut sama ada di bandar mahupun di kampung-kampung.
Berdasarkan pemerhatian, pemasangan bendera parti-parti politik di bandar Penggaram seolah-olah tidak menampakkan berlakunya pertandingan lima penjuru sebagaimana diumumkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu lepas.
Buktinya, hanya dua parti sahaja yang dilihat agak galak memasang bendera di tengah bandar bagi menunjukkan ada calon dipertandingkan di Parlimen itu.
Dua parti itu adalah Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Sementara Barisan Nasional (BN) hanya memasang bendera di lokasi-lokasi tertentu sahaja.
Jika ada pun, bendera-bendera parti itu hanya dipasang secara berjarak tanpa kreativiti yang boleh menarik minat dan perhatian orang ramai.
Tidak diketahui apa sebabnya pilihan raya yang akan menentukan pentadbiran persekutuan tidak rancak di kawasan Parlimen di sini.
Sama ada ia masih terlalu awal atau jentera pilihan raya tidak menjalankaan kerja membantu calon untuk berkempen.
Bukan sahaja bendera malah, poster mahupun billboard calon masih belum lagi kelihatan dan situasi seperti ini jarang-jarang berlaku pada pilihan raya.
Bagaimanapun, situasi seperti itu dijangka berubah kerana tempoh berkempen masih panjang dan kemeriahan pilihan raya perlu diterjemahkan kepada rakyat kerana pemimpin yang akan dipilih bakal menentukan hala tuju dan masa depan negara. – MalaysiaGazette