KUANTAN – Perjuangan penyokong Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis tetap diteruskan meskipun dengan ketiadaan Datuk Seri Najib Razak yang dahulunya menjadi nadi bagi Parlimen Pekan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, meskipun rakyat DUN Pulau Manis merasa kehilangan bekas perdana menteri itu namun semangat ‘Bossku’ tetap diterjemahkan penyokong setia kepada penyandang di situ, Datuk Khairuddin Mahmud.
“Semangat UMNO dan BN kita nampak sehingga kini dalam kalangan penyokong dan pengundi sini mereka kelihatan bersemangat.
“Inilah masa ditunjukkan walaupun Bossku tidak bersama kita kali ini namun semangat ahli UMNO begitu kuat dengan kita.
“Saya percaya mereka bagi sokongan cukup kuat kepada calon BN. Ini juga sebagai hadiah kepada Bossku yang tidak dapat bersama pada kali ini,” katanya ketika ditemui melawat Pusat Daerah Mengundi Dewan Jaya Gading di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, Wan Rosdy turut bersyukur melihat jentera BN bekerja keras menjayakan kempen sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati ramai penyokong BN merasai ‘kehilangan’ Najib kali ini.
Menurut Abu Musa Abu Talib, 67, beliau sedih walaupun dalam kemeriahan kempen kerana tiada lagi kelibat ‘Bossku’ turun padang namun tetap setia bersama UMNO.
“Saya rasa kesedihan itu, bapa perjuangan Datuk Najib di penjara, saya pun sedih, sebagai rakyat dalam Malaysia saya bangga dia jadi pemimpin, saya kagum dengan dia.
“Terasa kesedihan pada PRU15 ini sebab belliau pemimpin yang baik, bapa perjuangan inilah untuk masa depan negara,” katanya.
Abu Musa merupakan anak kelahiran Kemboja dan mendapat kerakyataan di negara ini tidak pernah melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi setiap kali pilihan raya umum.
“Saya orang luar dulu, datang ke Malaysias sudah 45 tahun, saya asal Kemboja, pelarian perang tahun 1979 masa arwah Tunku Abdul Rahman ada lagi kemudian dapat warganegara dan undi di Malaysia selama berpeluang mengundi sudah masuk kali kelima.
“Saya sokong penuh pada UMNO, perjuangan UMNO, sebab diambil jaga saya ialah Bapa Kemerdekaan (Tunku Abdul Rahman) juga UMNO,” katanya.
Sementara itu, Saadun Zakaria, 53, juga menyuarakan sokongan dan perjuangan demi orang Melayu diteruskan bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih sekali buat kali kesembilan pada PRU15.
Tambah Saadun, apa yang lebih bermakna apabila mendapat sokongan kepada anak-anak muda juga kepada calon orang tempatan yang telah lama bersama dengan mereka.
“Bersedih memanglah bersedih sebab setiap kali PRU ‘Bossku’ bersama kita, semangat tetap diteruskan walaupun dia tiada, sebab semangat itu dah sebati dengan kita.
“Kita tengok sambutan anak muda menggalakkan, mereka sendiri berkumpul sebagai tanda sokongan. Hati mereka ini sudah sebati dengan calon yang ada.
“Pencapaian ADUN di sini pun bagus terutamanya aspek pertanian dan pembinaan rumah. Nak jumpa calon pun bila-bila masa, mudah kerana dia orang sini, masuk penggal keempat ini,” katanya.
Terdahulu, penyandang DUN Pulai Manis, Khairuddin Mahmud memperoleh majoriti sebanyak 2,334 apabila meraih 8,282 undi menewaskan calon PKR, Abu Bakar Lebai Sudin (2,101) dan calon Pas, Kapten(B) Zainuddin Noh (5,948) pada PRU14.
Manakala pada 19 November ini, Khairuddin akan melawan Rafiq Khan dari Perikatan Nasional (PN) dan Khairil Khalid Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette