okap
Adnan Abu Hassan (empat dari kanan) mengacau dodol bersama orang ramai Program Bersama Warga PPK Tanjung Ipoh dan Komuniti Keluarga Malaysia di Kampung Ibol, Terachi Kuala Pilah, hari ini.

KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa bersikap ‘okap’ atau tamak kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) namun pada masa yang sama, bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, sebelum ini, pihak tertentu menuduh beliau sebagai ‘okap’ kerana bertanding pada PRU15 ketika masih bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling.

“Saya tanya balik, kalau nak kira tamak, MB lagi tamak. Menteri Besar dia nak, Parlimen Port Dickson dia nak, jadi ADUN Sikamat dia nak, lagi tamak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bersama Warga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Tanjung Ipoh dan Komuniti Keluarga Malaysia di Kampung Ibol, Terachi di sini, hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu menambah, keputusan kerajaan Negeri Sembilan tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan PRU-15 menyebabkan beratus juta ringgit wang rakyat terpaksa dibelanjakan untuk menampung kos tambahan.

Adnan memberitahu, sikap Pakatan Harapan (PH) itu adalah amat menghairankan kerana mereka selama ini kononnya memperjuangkan hak rakyat.

“Penambahan kos kalau kita buat berasingan ini menunjukkan mereka tidak bersimpati dan tidak prihatin kepada rakyat,” jelasnya.

Berhubung peluang BN untuk mendapatkan semula kerusi Parlimen Kuala Pilah, beliau berkata, meletakkan diri sebagai calon underdog supaya beliau dan jentera parti tidak berasa terlalu selesa.

“Saya juga tidak rasa terancam dengan kekuatan PH sebagai kerajaan negeri kerana jentera BN sudah lama bersedia.

“Tetapi saya jarang mengukur kekuatan jentera pihak lawan sebaliknya saya cari jalan untuk mengoptimumkan kekuatan jentera BN bagi menarik minat pengundi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahan kerusi DUN Senaling pada PRN akan datang, Adnan berkata, ia terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Kalau tanya saya secara peribadi, saya harap boleh beri ruang kepada orang lain jika menang di kerusi Parlimen Kuala Pilah,” katanya.

Adnan, 52, mencabar penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Tiga lagi calon dalam pertembungan lima penjuru itu ialah Nor Azman Mohamad dari PH, Kamarulzaman Kamdias dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Datuk Azman Idris dari Parti Warisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast