Zainol Abu Samah

MELAKA – Polis Melaka membuka satu kertas siasatan terhadap seorang ahli parti yang terlibat perbuatan khianat dan melakukan ugutan jenayah dalam mesyuarat sebuah parti politik di sini malam tadi.

Ketua Polis, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan selepas mencetuskan kekecohan dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu di pejabat parti dalam daerah Melaka Tengah.

“Lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dan ugutan dengan cara menterbalikkan meja, kerusi dan mengoyakkan kain rentang serta mengancam akan memukul pengerusi mesyuarat.

“Ia berlaku ketika mesyuarat parti sebelum suspek lelaki berusia 50-an itu ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zainol berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka sudah membuka dua kertas siasatan sepanjang tempoh lima hari berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Kelmarin, IPK Melaka membuka satu kertas siasatan berkaitan jenayah khianat mencabut bendera parti lawan pada hari ketiga berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini Isnin lalu.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat berkaitan perbuatan mencabut dan mencampakkan bendera parti di atas jalan itu yang juga berlaku dalam daerah Melaka Tengah. – MalaysiaGazette