KUALA SELANGOR – Bukan mudah untuk memenangi hati pengundi, apatah calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) kali ini didominasi 70 peratus golongan muda dan muka baharu.
Bagi calon BN Parlimen Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof, beliau lebih selesa dipanggil ‘Mama’ dan dengan cara itu mudah untuk mendekati pengundi luar bandar itu.
“Panggilan mama ini sudah lama, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang yang mahu memanggil saya dengan nama itu.
“Lepas itu saya rasa panggilan itu lebih mesra dan rasa lebih dekat dengan pengundi.
“Sebab pemuda pemudi ini dia tak berapa suka sangat protokol, saya pun tak nak sangat (dipanggil) Datuk sana sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Yu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang berikrar untuk meneruskan segala usaha yang dimulakan penyandangnya, Tan Sri Noh Omar sejak enam penggal lalu.
“Saya tak menafi Tan Sri Noh jaga Tanjong Karang sangat baik.
“Apa yang telah dibuat oleh Tan Sri Noh yang baik dan bagus saya akan teruskan, saya sambung kerja beliau.
“Isu kebajikan saya akan teruskan (perjuangkan) seperti mana beliau lakukan kepada pengundi Tanjong Karang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















