Wee Ka Siong. Foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2022.

BATU PAHAT – Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melancarkan lima aku janji untuk warga Parlimen Ayer Hitam termasuk menjadikan zon tengah Johor sebagai hab pengangkutan darat menerusi pembinaan stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di Ayer Hitam.

“Sekiranya projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dipersetujui oleh kedua-dua negara, saya akan memperjuangkan untuk membina satu stesen di Ayer Hitam kerana ia merupakan lokasi strategik untuk merangsang ekonomi tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aku janji itu di sini malam tadi.

Menteri Pengangkutan itu berkata menerusi aku janji berkenaan, beliau juga berhasrat menjadikan Yong Peng sebagai hab pertanian moden, menarik pelaburan dan mencipta kejayaan baharu, merancakkan sektor pelancongan serta melibatkan belia sebagai pemangkin masa depan.

Wee berkata beliau komited membantu golongan petani dengan mempromosi program pertanian moden khususnya di Yong Peng serta menyediakan latihan teknologi pertanian pintar selain menggalakkan industri perladangan seperti kelapa sawit, getah, durian dan buah-buahan bagi merancakkan industri dan menjana pendapatan rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu berkata usaha menarik pelabur untuk membina kilang-kilang besar di Ayer Hitam pula akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan, Wee berkata beliau akan menggabungkan keunikan alam semula jadi yang terdapat di Yong Peng, Paloh dan Bekok sekali gus menjadikan bahagian tengah Johor sebagai ‘Segi Tiga Emas Pelancongan’.

Selain itu, Wee berjanji akan menawarkan lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan menyediakan biasiswa untuk golongan belia.

Parlimen Ayer Hitam menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wee, calon Pakatan Harapan (PH) Sheikh Umar Bagharib Ali dan Muhammad Syafiq A. Aziz (Perikatan Nasional).

Wee yang memegang kerusi parlimen itu selama empat penggal, menang tipis pada PRU14 dengan majoriti 303 undi menewaskan Liew Chin Tong (PH) dan Mardi Marwan (PAS).

– BERNAMA